Tomoyuki Yamaguchi dilantik sebagai CEO Isuzu Malaysia

28/04/2025 - 12:27
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 28 April - Isuzu Malaysia mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bermula 24 April 2025.
Pelantikan itu menggantikan Shunsuke Okazoe, yang kembali ke Jepun untuk memegang jawatan Naib Presiden, Bahagian Jualan Jepun, Isuzu Motors Ltd.
Beliau merupakan graduan Universiti Toyo, dan menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997 serta mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri automotif.
Sebelum dilantik sebagai CEO Isuzu Malaysia, beliau telah bertugas di pelbagai pasaran antarabangsa, termasuk Rusia, Ukraine, dan Afrika Selatan, di mana beliau memainkan peranan penting dalam memajukan perniagaan kenderaan komersial Isuzu di sana.
Yamaguchi berkeyakinan terhadap kedudukan kukuh Isuzu Malaysia di pasaran dan matlamatnya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
"Isuzu Malaysia berjaya mewujudkan asas pelanggan setia yang mengakui kualiti dan keupayaan kenderaan Isuzu. Kini, kami perlu terus berusaha untuk memastikan setiap pengalaman pelanggan adalah yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan.
Fokus utama beliau adalah mengukuhkan rangkaian pengedar Isuzu di seluruh negara, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan ketersediaan alat ganti. Seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan Isuzu di jalan raya Malaysia, beliau juga akan memperkenalkan proses pengurusan gudang yang lebih efisien bagi memastikan alat ganti dapat disediakan dengan lebih pantas.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Yamaguchi turut menekankan kepentingan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan berkualiti melalui pengedar untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.
Dengan pengalaman luas dalam industri automotif dan komitmennya terhadap perkhidmatan pelanggan, Yamaguchi dijangka akan terus membawa Isuzu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih cemerlang dan memperkukuh kedudukannya sebagai jenama pilihan utama dalam pasaran kenderaan komersial dan penumpang di Malaysia.- DagangNews.com
standard
