Hab Industri Rel Selangor pacu negeri sebagai peneraju serantau

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 11:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hab Industri Rel Selangor pacu negeri sebagai peneraju serantau

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Hab Industri Rel Selangor di InnoTrans 2026 di Berlin, Jerman yang memposisikan Selangor sebagai pusat utama serantau bagi pemasangan kereta api tempatan, integrasi sistem dan pembangunan tenaga kerja.

Invest Selangor Berhad memaklumkan inisiatif itu dilancarkan di Pavilion Malaysia pada pameran berkenaan dan disempurnakan EXCO Pelaburan Ng Sze Han yang turut mengetuai delegasi Selangor ke Berlin.

Menurutnya, hab berkenaan akan dibangunkan di Taman Perindustrian Zurah, Hulu Selangor dengan fasa pertama dimulakan serta-merta melibatkan ruang binaan seluas 0.3 hektar di premis SIRIM Berhad.

“Bagi pengembangan seterusnya, fasa kedua akan menggunakan tanah seluas 7.7 hektar bersebelahan SIRIM untuk memperluas operasi pemasangan dan pengujian.

"Fasa ketiga pula membabitkan pembangunan taman perindustrian rel khusus seluas 50.6 hektar yang terletak kira-kira dua kilometer dari fasa pertama dan kedua bagi memenuhi keperluan pengembangan industri jangka panjang serta peningkatan permintaan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Invest Selangor berkata Selangor merupakan hab utama industri rel negara dan menempatkan projek utama seperti Laluan Rel Kita Selangor sepanjang 203 kilometer (km).

Katanya, hab berkenaan dibangunkan bagi menangani keperluan baik pulih aset rel yang semakin berusia, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta berperanan sebagai pintu masuk serantau ASEAN menerusi hubungan terus dengan Pelabuhan Klang dan koridor rel utama.

“Hab ini memberi tumpuan kepada empat aktiviti operasi iaitu pemasangan dan pengujian kereta api tempatan, pembuktian konsep (PoC) dan integrasi sistem, pembangunan simulator kereta api serta kawalan penyetempatan rantaian bekalan.

“Pembangunan modal insan diperkukuh menerusi kerangka 'Rail Teaching Factory' dan 'Selangor Talent Action Plan for Rail Industry (STAPRI)' bagi membangunkan tenaga kejuruteraan bertauliah merentas sistem,” katanya.

Sempena pelancaran tersebut, SIRIM menerima Surat Hasrat (LOI) daripada tiga rakan industri iaitu MMC Engineering Berhad, Pecca Leather dan Xcel Itech Sdn Bhd bagi memulakan keupayaan teras dalam Hab Industri Rel Selangor.

Sementara itu, Sze Han berkata hab berkenaan merupakan langkah strategik untuk memanfaatkan peluang industri dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kejuruteraan serantau.

“Selangor mempunyai kepekatan aset rel tertinggi di Malaysia dan apabila aset matang ini mencapai peringkat operasi kritikal, kita melihat peluang besar untuk memperkukuh keupayaan dalam pengurusan kitar hayat aset, baik pulih sistem secara tempatan serta integrasi digital pintar,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved