
Di persidangan kemuncak negara BRICS yang berlangsung di New Delhi hujung minggu lalu, Presiden China Xi Jinping mencadangkan pengukuhan kerjasama BRICS melalui penglibatan aktif bersama negara pasaran pesat membangun dan Selatan Global, kestabilan rantaian bekalan, serta integrasi pasaran dan inovasi industri.
Lima inisiatif utama yang dikemukakan dengan yang pertama menubuhkan komuniti sumber terbuka kecerdasan buatan (AI) BRICS yang menyokong pembangunan model bahasa raya (LLM), menganjurkan latihan AI, dan membina ekosistem terbuka.

Kedua, mewujudkan perkongsian zon ekonomi khas melalui portal pintar dan penyelarasan dasar, serta menganjurkan Forum Perdagangan Perkhidmatan BRICS. Ketiga, membangunkan platform awan ekosistem digital BRICS, latihan kemahiran digital, dan pertukaran teknologi untuk memacu ekonomi digital antara negara ahli.
Seterusnya yang keempat membantu negara anggota membina kilang pintar, merangka piawaian industri, dan memacu transformasi sektor pembuatan. Akhir sekali inisiatif kelima ialah menubuhkan perikatan latihan jurutera dengan pengiktirafan standard kompetensi bersama, serta melancarkan program pertukaran belia dalam inovasi teknologi.
Cadangan Presiden Xi hadir ketika sektor AI berkembang pesat, dengan syarikat melancarkan model semakin berkuasa pada kadar pantas. Langkah yang diambil berbeza dengan Amerika Syarikat yang ingin membangunkan sistem AI tertutup serta menghalang akses kepada model serta kelengkapan AI kepada negara yang dilihat tidak sehaluan dengan mereka.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang kemuncak di New Delhi dengan Malaysia menyatakan minat menyertai BRICS. Julai lalu Malaysia menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama AI Sedunia ataupun World AI Cooperation Organization (WAICO).
WAICO ialah badan antara kerajaan bagi melakukan kerjasama dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) global yang dianggotai 29 negara. Organisasi akan menegakkan tujuan Piagam PBB, komited terhadap perundingan meluas dan sumbangan bersama untuk faedah bersama dan mematuhi pendekatan berpusatkan rakyat.






