
Had BUDI95: Chin Tong Jelaskan Kenyataan Diambil Luar Konteks
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, menjelaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan berhubung had subsidi BUDI95.
Menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya, Chin Tong berkata laporan media mengenai perkara tersebut telah diambil di luar konteks.
"Pagi ini, dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga. Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks.
"Perlu dijelaskan di sini bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan," katanya.
MOF Teliti Mekanisme Proses Penyasaran Subsidi Diesel Sama Seperti BUDI95 - Fahmi
BUDI95 Langkah Tepat Bagi pembaharuan Subsidi Bahan Api Bersasar Malaysia - Bank Dunia
Chin Tong menjelaskan bahawa BUDI95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
"Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.
"Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol," ujarnya.
Beliau juga meluahkan rasa kesal kerana kenyataannya telah mencetuskan salah faham.
"Saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan. Terima kasih," katanya lagi.



