Kuota subsidi BUDI95 mungkin diturunkan kepada 150 liter sebulan - Liew Chin Tong

LocalPolitics
12 May 2026 • 4:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kuota subsidi BUDI95 mungkin diturunkan kepada 150 liter sebulan - Liew Chin Tong Image from: Kuota subsidi BUDI95 mungkin diturunkan kepada 150 liter sebulan - Liew Chin Tong hamden12/05/2026 - 16:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Mei  - Kerajaan mungkin menurunkan lagi kuota petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan ketika usaha sedang dipertingkat untuk mengurus permintaan dan memastikan kelestarian bekalan bahan api negara.

 

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, data semasa menunjukkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah paras yang ditetapkan, sekali gus memberi ruang kepada pelarasan had subsidi.

 

“Data secara konsisten menunjukkan 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter. Langkah seterusnya ialah 150 liter kerana 60% populasi menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya pada sesi 'Fireside Chat' di Affin Market Outlook 2026: Propelling Malaysia Forward hari ini.

 

Sebelum ini, kerajaan telah menurunkan had kuota petrol bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter pada Mac lalu.

 

BUDI95 merupakan skim yang membolehkan pengguna layak membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter.

 

Menurut Chin Tong, perbelanjaan kerajaan untuk subsidi bahan api meningkat hampir 10 kali ganda susulan lonjakan harga minyak mentah berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah pada hujung Februari lalu.

 

Dalam pada itu, kerajaan turut sedang meneliti pengetatan kelayakan subsidi termasuk kemungkinan mengecualikan kumpulan berpendapatan tinggi (T20) serta warga asing daripada skim berkenaan.

 

“BUDI95 perlu dilihat sebagai alat pengurusan permintaan, bukan sekadar program subsidi. Kerajaan perlu memastikan bekalan domestik kekal stabil jika krisis geopolitik berpanjangan,” katanya.

 

Beliau berkata, setakat ini bekalan minyak negara masih stabil sehingga awal Julai, namun perkembangan lanjut masih belum dimaklumkan.

 

Kerajaan juga sedang merangka mekanisme subsidi diesel bersasar bagi Sabah dan Sarawak, yang dijangka menggunakan pendekatan sama seperti BUDI95.

 

Dalam jangka panjang, Chin Tong berkata Malaysia perlu mempercepat pelaburan dalam pengangkutan awam, elektrifikasi serta perancangan bandar lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article