Hadapi cuaca tidak menentu dengan berwaspada

LocalEnvironment
17 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hadapi cuaca tidak menentu dengan berwaspada

CUACA tidak menentu yang melanda Malaysia bukan sekadar perubahan alam bermusim, sebaliknya menjadi isu keselamatan awam yang perlu diberi perhatian serius. 

Hujan lebat, ribut petir, angin kencang dan banjir boleh mengancam nyawa serta merosakkan harta benda jika masyarakat mengabaikan langkah berjaga-jaga.

Malaysia kini memasuki fasa Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga Mac 2027. Beberapa episod hujan lebat berterusan diramalkan berlaku antara November hingga Januari 2027, sekali gus meningkatkan risiko banjir, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan sepanjang musim tengkujuh.

Sehingga 26 Oktober lalu, sebanyak 3,682 lokasi panas banjir dikenal pasti di seluruh negara. Sebagai persediaan, seramai 25,592 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada dalam keadaan siap siaga dengan sokongan 1,248 aset operasi.

Namun, kesiapsiagaan agensi penyelamat perlu disertai kerjasama masyarakat. Penduduk di kawasan berisiko wajar mengenal pasti laluan pemindahan, mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, ubat-ubatan, air minuman serta makanan asas.

Hujan lebat boleh mengurangkan jarak penglihatan, menjadikan jalan licin dan meningkatkan risiko kemalangan. Pemandu perlu memperlahankan kenderaan, mengekalkan jarak selamat serta memastikan tayar dan brek berada dalam keadaan baik.

Jangan sesekali meredah jalan yang dinaiki air jika kedalaman dan kekuatan arus tidak diketahui. Air yang kelihatan cetek mungkin mempunyai arus deras, manakala permukaan jalan di bawahnya berkemungkinan rosak. Jika hujan terlalu lebat sehingga pandangan terjejas, berhenti di tempat selamat.

Penunggang motosikal juga perlu lebih berhati-hati kerana terdedah kepada risiko tergelincir dan angin kencang. Menangguhkan perjalanan jauh lebih baik daripada mempertaruhkan nyawa.

Ribut petir boleh disertai kilat, angin kencang dan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat. Ketika keadaan ini berlaku, orang ramai perlu menjauhi kawasan lapang, padang, sungai dan aktiviti rekreasi air. Sebaliknya, dapatkan perlindungan di dalam bangunan kukuh atau kenderaan berbumbung keras.

Penduduk berhampiran sungai pula perlu memantau paras air dan segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa. Masyarakat turut boleh mengurangkan risiko banjir setempat dengan tidak membuang sampah ke dalam longkang serta memastikan saliran tidak tersumbat.

Risiko cuaca tidak berakhir apabila musim tengkujuh reda. Malah, laporan media turut menyentuh kemungkinan cuaca lebih panas dan kering serta risiko fenomena El Nino yang kuat.

Keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko tekanan haba, kekurangan air dan kebakaran terbuka. Oleh itu, masyarakat perlu mengurus penggunaan air secara berhemah, mengurangkan aktiviti berat ketika cuaca panas dan mengelakkan pembakaran terbuka.

Maklumat cuaca hendaklah diperoleh daripada sumber rasmi seperti METMalaysia, manakala perkembangan banjir boleh disemak melalui sistem Public InfoBanjir. Elakkan menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan.

Keselamatan menghadapi perubahan cuaca ialah tanggungjawab bersama. Setiap keluarga perlu mempunyai pelan kecemasan, khususnya bagi membantu warga emas, kanak-kanak dan individu yang memerlukan perhatian.

Cuaca tidak dapat dikawal manusia tetapi risikonya boleh dikurangkan melalui persediaan dan tindakan bijak. Jangan tunggu bencana berlaku untuk mengambil langkah berjaga-jaga kerana tindakan awal mampu menyelamatkan nyawa. –UTUSAN

 

AIDA MUHAMAD

Pensyarah Kanan,

Pusat Pengajian Diploma,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

The post Hadapi cuaca tidak menentu dengan berwaspada appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved