Hadiri Kursus Kesedaran Sivik Sebelum Ambil Kunci Rumah PPR - Nga

5 Mar 2023 • 11:29 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nga Kor Ming berkata, kursus berkenaan akan meliputi taklimat mengenai pentingnya membayar yuran penyelenggaraan, menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme - Gambar Fail Bernama

KUALA LUMPUR - Bermula tahun ini, individu bakal memiliki rumah berstrata di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) perlu menghadiri kursus kesedaran sivik bagi memberi kesedaran, pemahaman dan tanggungjawab mengenai hidup berkomuniti dan adab kejiranan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kursus berkenaan akan meliputi taklimat mengenai pentingnya membayar yuran penyelenggaraan, menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme.

“Kesedaran sivik yang tinggi akan menjadikan komuniti tersebut lebih mesra alam dan mesra komuniti.

“Sebab itu mereka perlu hadir kursus kesedaran sivik kerana semua pihak perlu faham apabila kita menikmati kemudahan (disediakan di perumahan) ada juga tanggungjawabnya oleh penghuni. Oleh itu, sebelum ambil kunci rumah kena hadir kursus,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

PPR adalah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah yang dilaksana Jabatan Perumahan Negara.

image is not available
Terdapat banyak isu dikaitkan dengan mereka yang tinggal di kawasan PPR seperti vandalisme, kebersihan, membuang sampah dari tingkat atas dan adab kejiranan sehingga turut dilaporkan dalam media tempatan - Gambar Hiasan

Ia terdiri daripada dua kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki, yang kedua-duanya menggunakan spesifikasi perancangan dan reka bentuk perumahan kos rendah ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS2).

Bagaimanapun, terdapat banyak isu dikaitkan dengan mereka yang tinggal di kawasan PPR seperti vandalisme, kebersihan, membuang sampah dari tingkat atas dan adab kejiranan sehingga turut dilaporkan dalam media tempatan. 

Beliau berkata pihaknya menyarankan semua PPR sedang dirancang turut merangkumi unsur-unsur komersial seperti memiliki kedai serbaneka dan kemudahan perbankan, selain utiliti asas seperti internet, elektrik dan air bagi menambah daya tarikan terhadap PPR berkenaan. 

“Kita akan masukkan ciri-ciri baharu pada projek perumahan ini supaya lebih berdaya huni, mesra alam, mesra penghuni dan masukkan elemen komersial serta landskap lebih selesa kepada penghuni,” katanya. 

Nga berkata, menerusi Belanjawan 2023, sebanyak RM367 juta diperuntukkan bagi pembangunan PPR baharu yang bakal memanfaatkan 12,400 penghuni manakala RM358 juta bagi pembinaan 4,250 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad. 

Sementara itu, beliau berkata menerusi belanjawan itu juga, kira-kira 100,000 penghuni di 56 PPR bakal menikmati internet percuma selama sembilan bulan.

“Tahun ini juga kita berjaya dapat peruntukan khas RM50 juta untuk tukar lif rosak dan usang di PPR.

“Saya sasar tukar 100 lif setahun, sepenggal (pemerintahan) boleh tukar 500 lif,” katanya. - Bernama