Hael Husaini Optimis Adakan Konsert Solo Pertama  Disember Ini Biarpun Terpaksa Bersaing Dengan Artis Lain

Music
21 Oct 2022 • 1:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar ihsan RocketFuel & Instagram Hael Husaini

Buat julung kalinya penyanyi dan komposer tanah air Hael Husaini akan mengadakan sebuah konsert berjudul ‘Hael Husaini Live In KL’. 

Konsert ini bakal berlangsung pada 4 Disember 2022, jam 8 malam, bertempat di, Zepp Kuala Lumpur, dan dibawakan oleh Rocketfuel Entertainment.

image is not available
Gambar ihsan RocketFuel & Instagram Hael Husaini

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husiani Rami, 34,  menjadi impian setiap penyanyi untuk menganjurkan konsert solo sendiri buat para peminat. 

“Konsert ini  merupakan konsert solo pertama saya selama hampir 15 tahun menjadi anak seni. Saya percaya ini adalah impian buat  semua penyanyi.”

“Ia juga adalah  kesinambungan daripada kejayaan showcase khas ‘An Evening With Hael Husaini’ yang telah berlangsung pada 30 Jun 2022 yang lalu.

“Selain dari ingin melakukan persembahan yang terbaik pada malam itu nanti, konsert ini juga merupakan lambang penghargaan kepada semua peminat dan penyokong-penyokong saya yang masih setia dari awal kemunculan sehinggalah sekarang. 

“Saya yakin mereka akan dapat merasakan pengalaman perjalanan karier muzik saya sepanjang malam konsert itu nanti. Saya akan terjemahkan kesemuanya melalui lagu dan persembahan.

“Walaupun ada sedikit cabaran dari segi persaingan dengan konsert-konsert artis bernama besar dan antarabangsa yang dianjurkan dalam lingkungan masa yang sama, saya tetap yakin dan optimis untuk menjadikan konsert ini satu kenyataan,” katanya. 

image is not available
Gambar ihsan RocketFuel & Instagram Hael Husaini

Kongsi Hael lagi, sehingga kini sudah 50 peratus  persiapan yang dilakukan menjelang konsert yang tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi. 

Persembahan muzik pada malam itu nanti akan diketuai oleh pengarah muzik terkenal iaitu Sze Wan manakala Jennifer Thompson pula bertindak sebagai pengarah konsert.

Konsert ini dijangka berlangsung selama dua jam dengan rangkaian 23 buah lagu. Walaubagaimanapun, pemilihan lagu masih lagi dalam fasa terakhir perbincangan.

“Bilangan lagu yang akan akan saya sampaikan masih lagi dalam perbincangan kerana terlalu banyak lagu yang ingin kami sampaikan pada malam konsert nanti, jadi harus betul-betul memilihnya” 

“Selain dari itu, segala elemen lain yang akan berlaku sepanjang persembahan pada malam itu nanti kebanyakannya  berunsurkan kejutan. Jadi saya simpan dahulu dan tidak dapat mendedahkan banyak perkara kerana mahu anda dapatkan tiket dan saksikan sendiri pada malam konsert itu nanti.

“Harapan saya hanyalah untuk memberikan persembahan terbaik saya pada malam konsert tersebut. Persembahan yang tak akan dapat dilupakan oleh pengunjung yang hadir nanti. Itulah impian saya yang sebenar,” kongsinya. 

image is not available
Gambar ihsan RocketFuel & Instagram Hael Husaini

Tiket-tiket akan mula dijualmulai hari ini, jam 8 malam di platform HAELHUSAINI.UBERTICKETS.MY. Bagi mereka yang ingin membeli VIP SUITE, anda boleh menghubungi pihak uber tickets di talian 019 588 1810. – Getaran, 21 Oktober 2022