Hafiza Rofa Catat Terpantas – TKKR Umpama Sireh Kembali ke Gagang

17 Aug 2025 • 7:56 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

SEPANG, 16 Ogos – Drama kelayakan Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang semalam menyaksikan detik penuh emosi buat Md Hafiza Rofa apabila pelumba TKKR Racing Team itu muncul sebagai pelumba terpantas dalam kategori CP150.

image is not available

Selepas sekadar di tempat kelapan pada sesi Kelayakan 1, Hafiza bangkit luar biasa dalam Kelayakan 2 dengan catatan 1’15.567s, sekali gus menyingkirkan pencabar utama, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) ke tempat kedua dengan beza tipis 0.063s. Rakan sepasukan Akid, Ahmad Afif Amran pula mengekalkan konsistensi untuk berada di kedudukan ketiga.

Buat Hafiza, ini merupakan kali pertama beliau menamatkan hari kelayakan sebagai pelumba terpantas dalam kelas CP150 – satu pencapaian yang cukup bermakna. “Saya tak sangka dapat P1. Terima kasih kepada pasukan yang berusaha keras sejak pagi, mencuba pelbagai tetapan sehingga akhirnya menjadi. Saya akan cuba buat yang terbaik hari ini,” katanya.

Kejayaan ini seakan memberi isyarat bahawa TKKR Racing Team mula mengembalikan taringnya, ibarat sireh kembali ke gagang. Walaupun perlumbaan sebenar masih menanti, pencapaian Hafiza semalam membuka lembaran baharu buat pasukan yang pernah menjadi antara pencabar utama Cub Prix.

Segala persoalan siapa yang akan menguasai grid teratas akan terjawab dalam sesi Super Pole hari ini, yang pasti menjanjikan pertarungan lebih mendebarkan.

View Original Article