Hafizuddeain Mohon Bersara Awal, Jawatan Panglima ATM Secara Rasmi Kosong - Khaled

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 6:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah memohon secara rasmi untuk bersara lebih awal, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau dimaklumkan mengenai permohonan tersebut menerusi sepucuk surat yang dikemukakan peguam Hafizuddeain.

Menurut beliau, surat rasmi berkenaan membolehkan kementerian memulakan proses untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan Panglima Angkatan Tentera.

“Majlis Angkatan Tentera sebelum ini telah memutuskan untuk melantik Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera, namun keputusan tersebut ditangguhkan berikutan kes yang sedang dihadapinya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira, di sini.

Mengulas lanjut Khaled berkata, keputusan agar Hafizuddeain dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang dijadualkan berkuat kuasa 1 Januari lalu ditangguhkan berikutan siasatan kes.

“Dengan persaraan awal beliau 1 Januari lalu, jawatan terbabit secara rasmi disahkan kosong,” katanya.

Jelas beliau, jawatan Panglima Angkatan Tentera buat masa ini dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

“Kini proses untuk mencari Panglima Angkatan Tentera yang baharu akan dimulakan, dan Majlis Angkatan Tentera akan mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan diraja.

“Proses ini akan mengambil masa. Itu juga antara sebab beliau (Hafizuddeain) memohon persaraan awal, bagi membolehkan kami mengisi jawatan Panglima Angkatan Tentera,” tambahnya,

Terdahulu Khaled pada 27 Disember lalu berkata, Hafizuddeain akan bercuti serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap beberapa dakwaan yang telah dilaporkan sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan sejak 2023 terhadap beberapa projek yang melibatkan Tentera Darat Malaysia.

Siasatan tersebut difahamkan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah pusat tanggungjawab Tentera Darat. - Getaran, 12 Januari 2026