Haikal Nazri, Hon Jian kejar masa pulih sebelum Terbuka Malaysia

FootballSports
26 Nov 2025 • 10:29 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, kini berdepan perlumbaan masa untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang Terbuka Malaysia 2025 selepas kedua-duanya bergelut dengan isu kecederaan yang menjejaskan persiapan mereka.

Sebelum ini, Haikal dilanda kecederaan yang mengekang prestasinya, namun ketika mula mendapatkan semula rentak permainan, giliran Hon Jian pula terpaksa diketepikan apabila disahkan mengalami koyak otot abdomen kira-kira lima sentimeter.

Situasi itu turut memberi kesan besar kepada momentum mereka, terutama usaha memperbaiki kedudukan ranking dunia yang merudum daripada No. 18 sehingga tergelincir ke kelompok 50 terbaik dunia.

Haikal memaklumkan, Hon Jian sudah mula mengadu sakit ketika separuh akhir di Finland sebelum ini, namun tetap memaksa diri beraksi dalam kejohanan di Jepun dan Australia dengan bergantung kepada ubat tahan sakit.

“Memang betul, sebelum ini saya cedera dan bila sudah dapat rentak, Hon Jian pula cedera. Di Jepun dia rasa okey sikit tapi masih sakit dan bila main di Australia, rupanya ada koyak kira-kira lima sentimeter di bahagian abdomen,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Hon Jian kini mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN), dan Haikal berharap gandingannya itu sempat pulih sebelum Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 11 Januari 2025.

Buat masa ini, Haikal tidak merancang untuk bergandingan dengan pemain lain, sebaliknya memilih untuk menunggu rakan sepasukannya itu pulih sepenuhnya.

“Saya hanya tunggu dia pulih untuk buat kebangkitan. Harapan saya tahun depan untuk meraih semula gelaran juara, tak kisah taraf Super 300, demi menaikkan semula ranking kami yang pernah berada di No. 18 dunia,” katanya.

View Original Article