Hajat Remaja Hidap Kanser Bertemu Faisal Halim Tercapai, Sempat Hadiahkan Adik Telefon Sebelum Pergi

22 Oct 2025 • 12:17 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Hajat Remaja Hidap Kanser Bertemu Faisal Halim Tercapai, Sempat Hadiahkan Adik Telefon Sebelum Pergi

Hajat seorang pejuang kanser tulang (osteosarcoma), Muhammad Zafran Hadi, untuk bertemu bintang kesayangan, Faisal Halim, akhirnya tercapai sebelum dimaklumkan meninggal dunia pada Selasa.

Pertemuan singkat itu berlaku pada Ahad lalu dan menjadi satu detik yang menyentuh hati semua yang hadir.

Biarpun Zafran tidak sedar sepenuhnya ketika itu, namun kehadiran Faisal Halim di sisi katil hospital sudah cukup untuk menyempurnakan impiannya.

image is not available

Remaja Hidap Kanser Bertemu Faisal Halim

Zafran, 18 tahun, disahkan menghidap kanser tulang pada Mac 2023 dan telah menjalani rawatan serta hari-hari penuh ujian dengan ketabahan luar biasa.

Di sebalik kesakitan, dia tetap tersenyum dan mengekalkan semangat tinggi.

Impian untuk bertemu Faisal Halim bukan sekadar tentang bola sepak, sebaliknya lambang semangat seorang pejuang yang terus bangkit memberi inspirasi kepada ramai.

image is not available

Pada 29 September lalu, Zafran menghantar mesej kepada Alieff Firdaus, insan yang banyak membantunya sejak awal rawatan, menyatakan harapannya mahu bertemu Faisal Halim.

“Abang, kalau boleh saya teringin sangat hendak berjumpa dengan Faisal Halim tetapi saya faham dia mungkin sibuk.”kongsinya.

Beberapa hari kemudian, ketika kesihatannya semakin merosot, Zafran sempat menitipkan pesanan terakhir melalui rakaman video:

“Abang, sebelum jadi apa-apa kepada saya, saya teringin sangat hendak berjumpa dengan Faisal Halim.”

Doa itu akhirnya dimakbulkan dengan izin Allah. Pertemuan itu turut dibantu ramai pihak termasuk Yang Mulia Tengku Zatashah, puteri kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Shalin Zulkifli, dan Tengku Norhanim, yang hadir dengan sokongan dan hadiah kecil buat pesakit di wad.

Turut dihargai, Dr Johan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, atas usaha memastikan pertemuan itu berjalan lancar.

Selain hajat bertemu idola, Zafran juga sempat menghadiahkan telefon pintar kepada adiknya, Aidil Haziq, sebagai tanda kasih sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.45 pagi, Selasa.

“Dengan penuh dukacita dan reda terhadap ketentuan Ilahi, kami memaklumkan bahawa Muhammad Zafran Hadi Mohd Fitrahaizul telah kembali ke rahmatullah pada hari ini,” menurut kenyataan keluarga.

image is not available

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor selepas solat Zuhur.

Sumber: TikTok zfrn_had18