Hajiji jelaskan status Shahelmey, Andi

LocalPolitics
12 Oct 2025 • 9:38 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

STATUS dua pemimpin negeri, Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, akan diputuskan apabila tiba masanya, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan telah menyatakan hasrat untuk bertanding di bawah tiket GRS pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.

“Itu hasrat mereka dan saya tidak ada bantahan kerana seorang merupakan menteri dan seorang lagi pemimpin muda,” katanya.

Shahelmey dan Andi sebelum ini merupakan ahli Umno yang beralih menyokong Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta gabungan GRS selepas percubaan Umno untuk menumbangkan Kerajaan Negeri melalui Langkah Kinabalu gagal.

Shahelmey, yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, selain merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat, dan Andi, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Ahli Parlimen Kalabakan serta Adun Tanjung Batu, kemudiannya digantung keahlian daripada Umno.

Kedua-dua pemimpin tersebut kekal setia kepada Hajiji dan kini berpihak kepada GRS. Namun, kedudukan mereka masih sensitif kerana sekiranya bertanding atas tiket GRS, tindakan itu berpotensi mencetuskan pelaksanaan undang-undang anti lompat parti, yang boleh menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen masing-masing.

Mengulas mengenai rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH), Hajiji berkata, perbincangan telah diadakan baru-baru ini bersama Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kami telah berbincang dengan PH, dan buat masa ini kami sedang memuktamadkan pembahagian kerusi antara GRS dan PH,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa PH meminta lebih daripada 20 kerusi, Hajiji menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang lazim dalam mana-mana pakatan politik.

“Adalah perkara biasa bagi rakan gabungan meminta lebih banyak kerusi, namun kita perlu bersikap praktikal. Tumpuan kita adalah kepada kawasan yang mempunyai peluang menang lebih tinggi agar peluang keseluruhan gabungan dalam pilihan raya lebih kukuh,” jelasnya.

Apabila ditanya sama ada maksud “praktikal” itu menunjukkan jumlah kerusi yang diperuntukkan mungkin kurang daripada yang diminta, Hajiji tersenyum dan berkata, “Saya akan jawab kemudian.”