
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan Tun Ahmadshah Abdullah yang meninggal dunia pada usia 78 tahun, malam Selasa lepas.
Beliau berkata Ahmadshah banyak berjasa kepada Sabah terutama ketika berkhidmat sebagai penjawat awam negeri. Saya bagi pihak keluarga dan kerajaan negeri ingin menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Ahmadshah mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan pada 1 Jan 2003 dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyambung khidmat untuk penggal kedua bermula 1 Jan 2007 hingga 31 Dis 2010.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Sebelum itu, Allahyarham memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum bersara pada Disember 2002.
Ahmadshah juga memegang beberapa jawatan penting lain, termasuk Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Ketua Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan kenamaan lain.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negeri kira-kira 10.30 pagi untuk disolatkan dan diberi penghormatan terakhir. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut di sebelah pusara isterinya Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar, yang meninggal dunia pada 2020.
Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menyifatkan Allahyarham Ahmadshah, yang pernah menjawat pelbagai jawatan dalam kerajaan sebagai insan jujur, ikhlas, mempunyai budi pekerti mulia dan memiliki sifat peramah serta disenangi semua. Jasa dan pengorbanan beliau kepada Sabah akan tetap dikenang seluruh lapisan rakyat negeri ini,” katanya.
Musa menziarahi jenazah Ahmadshah di Hospital KPJ sekitar jam 11 malam Selasa, tidak lama selepas mendapat berita mengenainya. Musa disertai oleh Toh Puan Faridah Tussin dan keluarga, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham selain mendoakan rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama insan beriman dan beramal soleh.
Sementara itu, turut menzahirkan ucapan takziah di akaun media sosial, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata jasa dan pengorbanan Allahyarham terhadap rakyat Sabah akan sentiasa dikenang.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambanya yang beriman,” katanya menerusi laman Facebook.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menerusi laman Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmadshah, diikuti Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa yang mendoakan semoga Allahyarham dilimpahi rahmat dan ditempatkan bersama syuhada serta orang beriman. Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan beliau amat sedih menerima berita pemergian Ahmadshah.
“Tun Ahmadshah bukan sahaja seorang pemimpin dihormati tetapi juga penjawat awam yang banyak berjasa kepada Sabah.
“Sumbangan Allahyarham dalam perkhidmatan awam dan dunia pendidikan sangat besar dan akan terus dikenang,” katanya.

