‘Hajiji paling layak jadi Ketua Menteri era baharu’

LocalPolitics
26 Sep 2025 • 2:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor disifatkan sebagai calon paling layak menerajui Kerajaan Negeri sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata walaupun beberapa nama mula disebut secara terbuka menjelang PRN termasuk Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Wetrom Bahanda serta ura-ura mengenai Datuk Dr Ronald Kiandee dari Perikatan Nasional (PN) namun kepimpinan Hajiji masih relevan dan terbaik untuk rakyat Sabah.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berpendapat Hajiji telah membuktikan keupayaan sejak menerajui kerajaan pada 2020 dengan hala tuju jelas, perancangan teratur serta rekod pencapaian yang kukuh.

“Beliau calon terbaik selepas kita melihat kepada hasil kerjanya yang cemerlang dengan pelan pembangunan yang mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai bukti.

“Malah kajian menunjukkan 94 peratus sasaran KPI Kerajaan Negeri sudah berjaya dicapai dan dilaksanakan,” katanya baru-baru ini.

Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Apas itu menegaskan calon Ketua Menteri seharusnya dinilai melalui bukti kerja dan bukan sekadar retorik.

Menurutnya pelbagai inisiatif di bawah pimpinan Hajiji dapat dilihat serta dirasai rakyat malah Nizam menyifatkan gaya kepimpinan beliau kuat bekerja dan cemerlang walaupun kurang bercakap.

Dalam perkembangan lain Nizam mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Khaled Nordin yang berkata walaupun Umno-BN tidak bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah ia tidak bermakna kedua-dua pihak bermusuhan.

Nizam menegaskan fokus GRS tetap konsisten untuk memastikan pentadbiran negeri terus berada di bawah teraju anak-anak Sabah yang lebih memahami denyut nadi rakyat.

“Kerajaan Negeri hari ini jelas berusaha memperbaiki kelemahan pentadbiran lalu sehingga berjaya mencapai pelbagai pencapaian membanggakan demi kepentingan rakyat.

“Di bawah kepimpinan Hajiji kestabilan politik dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pentingnya mempertahankan kerjasama yang dipelopori GRS dan Pakatan Harapan (PH) sebagai formula terbaik untuk menjamin kestabilan dan memastikan kepimpinan pada masa akan datang.