Jaminan pelihara tanah lembap Sabah

LocalEnvironment
25 Sep 2025 • 3:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usahanya memelihara kawasan tanah lembap Sabah, yang dianggap sebagai khazanah hidup dan perlu diurus secara bijaksana, bukan sahaja untuk pemuliharaan tetapi juga sebagai pemacu pembangunan mampan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan perusahaan komuniti, tanah lembap mampu menjana peluang ekonomi sambil memastikan alam sekitar terpelihara untuk generasi akan datang.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada kelestarian alam sekitar kerana sumber asli negeri ini adalah asas kepada ekonomi, budaya dan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Ke-5 Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Lembap 2025 di sini, Rabu.

Hajiji diwakili oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

“Kami juga sedang melaksanakan inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif dengan perlindungan alam sekitar sebagai prinsip panduan.

“Pendekatan kami bukan sekadar melindungi alam semula jadi untuk kepentingannya sendiri, tetapi juga memastikan bahawa pemuliharaan dan pembangunan dapat bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata projek ekopelancongan berasaskan komuniti telah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk meraih manfaat langsung daripada aktiviti pemuliharaan selain memperkukuh pendidikan alam sekitar, menyokong penyelidikan saintifik dan pemantauan bagi memandu dasar serta keputusan berasaskan bukti.

Antara lain, projek-projek ini merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri bersama komuniti setempat, NGO seperti Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS), institusi penyelidikan dan rakan antarabangsa, yang bersama-sama berjaya memulihkan ribuan hektar hutan paya bakau.

Hajiji menambah kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif sejak sekian lama untuk melindungi tanah lembap, termasuk mewartakan kawasan perlindungan, mengiktiraf tanah lembap seperti Tanah Lembap Kota Kinabalu sebagai Tapak Ramsar bertaraf antarabangsa serta memberi sokongan berterusan kepada pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan ekosistem pesisir.

“Namun kita sedar cabaran tetap ada. Perubahan iklim, pembandaran dan amalan tidak lestari terus memberi tekanan kepada tanah lembap.

“Sebab itu Sabah giat meneroka penyelesaian berasaskan alam semula jadi, strategi adaptasi iklim dan kerjasama antarabangsa agar usaha pemuliharaan kekal relevan serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri komited untuk memperluas kawasan pemuliharaan tanah lembap, meningkatkan kapasiti penyelidikan dan pemantauan, serta melabur dalam mekanisme pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon dan biodiversity offsets.

“Kami juga akan terus memperkukuh kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa kerana perlindungan tanah lembap bukan tanggungjawab satu kerajaan atau organisasi sahaja, tetapi amanah bersama dunia,” katanya.

Hajiji turut mengiktiraf komitmen SWCS yang sedang berusaha mencalonkan dua lagi kawasan sebagai Tapak Ramsar bertaraf antarabangsa, iaitu Tanah Lembap Semenanjung Klias dan Tanah Lembap Lahad Datu.

“Apabila tercapai, usaha ini akan melonjakkan lagi kedudukan Sabah di peta dunia dalam bidang pemuliharaan tanah lembap.

“­Visi Sabah jelas, iaitu menjadi model pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab di mana pemuliharaan menyokong pertumbuhan ekonomi dan rakyat hidup harmoni dengan alam,” katanya.

Beliau gembira simposium kali ini menyediakan tiga sesi utama — Sumber Marin (Blue Economy), Wetland Fire-Regime/Wetland Urban Interface, serta Pemulihan dan Penjagaan Tanah Lembap — yang dianggap penting dan tepat pada masanya.

“Saya menggesa semua peserta agar berkongsi idea, pengalaman dan inovasi. Belajarlah antara satu sama lain dan bina perkongsian yang akan berterusan selepas simposium ini tamat.

“Bersama-sama, kita boleh mencari cara baharu dan mampan untuk memelihara tanah lembap sambil memastikan ia kekal menjadi sumber kehidupan dan kesejahteraan untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden SWCS Datuk Zainie Aucasa menegaskan tanggungjawab bersama dan kerjasama amat penting untuk melindungi serta memelihara tanah lembap.

“Tanah lembap bukan sahaja habitat bagi pelbagai spesies, tetapi juga benteng semula jadi pesisir, sumber rezeki dan bilik darjah hidup untuk masyarakat,” katanya dalam ucapan alu-aluannya.

Beliau mengingatkan bahawa Tanah Lembap Kota Kinabalu hampir hilang akibat penambakan dan pembangunan pada 1980-an, namun berjaya diselamatkan hasil usaha gigih rakyat, NGO dan pencinta alam.

“Pada 1998, ia diwartakan sebagai Kota Kinabalu Bird Sanctuary dan diamanahkan kepada SWCS. Pada 2016, ia diiktiraf sebagai Tapak Ramsar ketujuh di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, SWCS berjaya memulihkan hutan bakau yang terjejas di Hutan Simpan Tasik Sulaman dan Kota Belud serta menanam puluhan ribu pokok dengan penglibatan komuniti setempat.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pemuliharaan mampu dicapai apabila masyarakat berganding bahu dengan visi yang sama,” katanya.