
Kota Kinabalu: Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan mempersoalkan sama ada bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai rancangan sebenar untuk membangunkan negeri ini.
Menolak kritikan presiden Warisan terhadap penggantinya Datuk Seri Hajiji Noor, Adun Kunak Datuk Norazlinah Arif (gambar) berkata dakwaan Shafie mengenai kewujudan rasuah dalam kerajaan sedia ada disifatkan tidak berasas.
Beliau menegaskan perbandingan antara pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan sepatutnya dibuat berdasarkan pencapaian mentadbir negeri berkenaan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Jelas beliau Hajiji memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selain membangunkan ekonomi biru yang memanfaatkan perairan negeri serta menguruskan sektor gas dan minyak (O&G) dengan baik.
“Pendekatan berteraskan rakyat amat kuat. Ciri ini tidak dimiliki Shafie,” katanya.
Norazlinah keluar Warisan pada 6 Februari 2023 selepas kegagalan Langkah Kinabalu yang digerakkan oleh bekas partinya serta Umno untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.
Dalam usaha merampas pentadbiran Sabah pada PRN tahun ini Shafie melancarkan tuduhan rasuah terhadap Hajiji dengan mengaitkan skandal perlombongan mineral di negeri ini.
Hajiji yang juga pengerusi GRS secara konsisten menafikan semua tuduhan terhadapnya sekali gus menegaskan beliau dan kerajaannya “tidak ada apa-apa untuk disembunyikan” malah menyifatkannya sebagai percubaan bermotif politik untuk melemahkan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah membersihkan Ketua Menteri daripada sebarang salah laku selepas mengambil keterangannya sebanyak dua kali secara berasingan.
Sementara itu, Adun Banggi Datuk Mohammad Mohamarin berkata Kerajaan GRS walaupun dilihat “senyap” tetapi berjaya menyelesaikan isu rakyat bukan seperti pihak tertentu yang cuba menggembar-gemburkan sesuatu tetapi gagal melaksanakannya.
Mengambil contoh masalah air di kawasannya, Mohammad berkata tindakan penyelesaian jangka panjang hanya dilaksanakan kini walaupun permohonan telah lama dibuat.
“Hajiji telah memberikan peruntukan besar untuk naik taraf loji air dan ini bukti paling jelas,” katanya.
