Hajiji yakin Sabah Maju Jaya akan pulih, kukuhkan ekonomi negeri

17 Apr 2023 • 1:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor percaya Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) akan memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negeri.

Beliau berkata ini dilakukan supaya kerajaan dapat melaksanakan kemajuan holistik untuk pertumbuhan yang lebih inklusif, seimbang dan adil.

“Saya yakin kerajaan ini mampu melakukan perubahan, mengurangkan kadar pengangguran, membasmi kemiskinan, dan tentunya memberi keselesaan kepada semua rakyat, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan Peringkat Daerah Tuaran yang diadakan di Masjid An-Nur, di sini, Ahad.

Menurut Hajiji, ekonomi negeri dan negara masih sedang pulih daripada pandemik tiga tahun lalu, dan Sabah amat bertuah kerana masih mampu mencatat pencapaian tertinggi dalam kutipan hasil Negeri.

Menurutnya, pencapaian yang membanggakan Kerajaan Negeri adalah hasil kerja keras dan kecekalan penjawat awam yang komited dalam pembangunan Negeri.

“Kami akan terus bekerja keras dan berusaha untuk mengukuhkan kewangan Negeri mengikut dasar Hala Tuju SMJ. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan dasar yang kukuh dan mesra pelabur, bertujuan menarik lebih ramai pelabur datang melabur di Negeri ini.

“Apabila bilangan pelabur meningkat, kesan hiliran kepada ekonomi negeri juga akan meningkat, kerana peluang pekerjaan dan perniagaan akan terbuka luas untuk direbut oleh anak tempatan,” katanya.

Hajiji berkata, sejak negara bergelut dengan pandemik Covid-19 sehingga tahun lepas, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaburan daripada sektor ekonomi bernilai RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang boleh menjana 4,566 peluang pekerjaan.

Menurutnya, dengan penambahan projek keluli hijau bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang dimeterai November tahun lalu termasuk beberapa projek pelaburan lain yang kini dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah pelaburan langsung asing dan domestik berjumlah RM33.4 bilion.

Tegasnya, membela nyawa rakyat merupakan antara agenda besar kerajaan sama ada di peringkat Negeri mahupun di peringkat Persekutuan.

Katanya, kerajaan amat prihatin terhadap sebarang isu berkaitan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim, OKU, kurang berkemampuan dan mualaf.

Justeru, katanya, di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, selain berpuasa, mereka juga dituntut untuk memperbanyakkan sedekah dan membantu golongan yang memerlukan.

“Selain sumbangan bantuan daripada kerajaan, saya amat menggalakkan mana-mana agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat swasta dan badan bukan kerajaan untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan. Ini bagi membolehkan mereka bersama-sama menikmati perayaan ini dengan orang lain.

“Majlis berbuka puasa hari ini dengan seramai 200 orang menerima bantuan, turut membuktikan keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban menguruskan perbelanjaan dan menyambut Syawal dengan rasa gembira dan ceria,” tambahnya.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hajiji menyeru orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap sederhana dalam berbelanja agar tidak membazir.

“Dengan berjimat cermat, ia akan mengukuhkan ekonomi keluarga dan sebagai persediaan untuk keperluan masa depan seperti pendidikan anak-anak,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.