GEORGE TOWN – Pertubuhan Kebajikan Impak Madani membantah kenyataan bersama 74 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan tempatan yang didakwa menggesa rakyat Malaysia menghentikan ucapan dan sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya.
Penasihat Impak Madani, John Ooh Sin Hwa berkata, pihaknya melihat desakan berkenaan sebagai cubaan mengetepikan hak asasi rakyat Malaysia untuk bersuara termasuk menyuarakan kebimbangan berkaitan isu sosial dan keselamatan yang berlaku di persekitaran mereka.
Menurutnya, setiap warganegara mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan seperti termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan kebebasan bercakap dan bersuara.
“Kami tidak akan membiarkan tekanan luar atau NGO antarabangsa menyekat hak perlembagaan rakyat Malaysia yang hanya menyuarakan rungutan dan keluhan yang tulen.
“Malaysia adalah sebuah negara berbilang budaya dan agama yang selama ini dikenali dengan keharmonian serta sikap inklusif.
"Namun luahan rasa tidak puas hati terhadap isu pelarian Rohingya bukan berpunca daripada kebencian semata-mata sebaliknya berdasarkan realiti dan isu yang berlaku di lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
John berkata, rungutan masyarakat didakwa berpunca daripada tindakan segelintir pelarian Rohingya yang menyalahgunakan toleransi diberikan kepada mereka sejak sekian lama.
Beliau menambah, rakyat Malaysia semakin terbeban dengan beberapa isu termasuk masalah sosial, keingkaran terhadap undang-undang serta gangguan awam yang melibatkan sebilangan pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya.
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu berkata, daripada sudut perundangan, gangguan awam turut mempunyai tafsiran khusus di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
"Kacau ganggu merujuk kepada sebarang perbuatan atau keadaan yang mendatangkan bahaya, kerosakan atau gangguan terhadap kesihatan, keselamatan serta deria orang awam termasuk bau, penglihatan dan pendengaran.
“Undang-undang ini memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan termasuk pembinaan struktur atau bangunan secara haram tanpa kelulusan perancangan daripada pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, beliau turut mendakwa berlaku aktiviti penyembelihan haiwan secara haram di kawasan terbuka awam tanpa kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
"Amalan berkenaan didakwa melanggar Akta Binatang 1953 (Akta 647) serta Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang menetapkan penyembelihan ternakan perlu dilakukan di rumah sembelih berlesen atau diluluskan DVS bagi mencegah penularan penyakit dan memastikan kebajikan haiwan terpelihara.
“Turut dibangkitkan ialah isu perniagaan jalanan atau penjaja haram di lokasi tidak sesuai yang bukan sahaja menjejaskan kebersihan awam, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas serta risiko keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berdiri bersama rakyat Malaysia dalam mempertahankan hak kebebasan bersuara berkaitan isu yang dianggap memberi kesan kepada masyarakat.
"Kami juga menggesa NGO antarabangsa supaya tidak cuba mengawal suara rakyat Malaysia sebaliknya menilai isu sama yang berlaku di negara masing-masing.
"Terdapat beberapa negara turut berdepan ketegangan berkaitan isu pelarian dan migran sehingga mencetuskan kekecohan yang mana, ia dirujuk kepada laporan media antarabangsa mengenai insiden berkaitan sentimen anti-imigresen," katanya.
Bagaimanapun, beliau memuji pendekatan masyarakat Malaysia yang disifatkan lebih matang dan aman melalui penggunaan petisyen awam serta saluran demokrasi dalam menyuarakan kebimbangan.
"Kami juga menggesa semua pihak berkuasa termasuk kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan supaya memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang, mengambil kira suara rakyat serta mengambil tindakan segera terhadap isu gangguan awam yang berlarutan," katanya.
Terdahulu, sebanyak 74 NGO dari Malaysia dan pelbagai negara menggesa semua pihak menghentikan gelombang kebencian serta diskriminasi terhadap komuniti Rohingya yang semakin membimbangkan di negara ini.
Dalam satu kenyataan yang disokong 74 NGO itu, Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi Persidangan Masyarakat Sivil ASEAN/Forum Rakyat ASEAN (ACSC/APF Malaysia) berkata, kempen kebencian terhadap Rohingya merupakan pencabulan hak asasi manusia yang tidak boleh diterima.
Menurutnya, ia termasuk dari segi petisyen dalam talian yang menggesa etnik tersebut disingkirkan dari Malaysia.



