Rohingya ketika simpati diuji

LocalPolitics
5 Jun 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rohingya ketika simpati diuji
Isu Rohingya hari ini berada di persimpangan antara simpati dan realiti. - Gambar hiasan

MALAYSIA sejak sekian lama menjadi antara destinasi utama pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan di Myanmar. Atas dasar kemanusiaan, negara ini membuka ruang perlindungan sementara kepada mereka yang mencari kehidupan lebih selamat dan bermaruah.

Namun selepas bertahun-tahun, isu Rohingya tidak lagi boleh dilihat semata-mata daripada sudut simpati dan kemanusiaan. Realitinya, kehadiran komuniti pelarian yang semakin besar turut membawa pelbagai cabaran yang perlu ditangani secara berhemah, tegas dan sistematik.

Perdebatan mengenai Rohingya kini semakin tertumpu kepada kemampuan negara mengurus kehadiran warga asing, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta kesan terhadap ekonomi, sosial dan keselamatan masyarakat setempat. Apa yang awalnya dilihat isu kemanusiaan kini berkembang menjadi persoalan dasar awam lebih kompleks.

Antara perkara sering dibangkitkan ialah kewujudan penempatan komuniti Rohingya di beberapa kawasan bandar yang semakin berkembang. Di sesetengah lokasi, mereka membentuk rangkaian sosial dan ekonomi tersendiri bagi meneruskan kehidupan. Walaupun kebanyakan mereka berdepan kekangan dari segi status dan hak pekerjaan rasmi, realitinya ramai terlibat aktiviti ekonomi untuk menyara keluarga.

Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan pematuhan undang-undang, lesen perniagaan, penggunaan proksi serta persaingan dengan peniaga tempatan. Jika tidak dipantau, ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan.

Kebimbangan awam turut meningkat apabila berlaku insiden menyentuh kepentingan masyarakat setempat. Kejadian pembuangan najis dan darah lembu korban ke dalam longkang di Jalan Besar Selayang Baru baru-baru ini menjadi contoh bagaimana satu tindakan tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan kemarahan penduduk dan mengundang persepsi negatif terhadap keseluruhan komuniti.

Walaupun tidak wajar menghukum keseluruhan kelompok berdasarkan tindakan segelintir individu, hakikatnya setiap insiden yang melibatkan kebersihan, keselamatan atau ketenteraman awam akan memberi kesan besar terhadap persepsi masyarakat. Dalam suasana sentimen terhadap pendatang asing yang semakin sensitif, kegagalan menangani isu-isu seperti ini secara tuntas hanya akan memburukkan keadaan.

Justeru, persoalan sering dibangkitkan rakyat ialah sejauh mana penguatkuasaan terhadap pelarian dan pendatang tanpa izin dilaksanakan secara konsisten. Rakyat mahu melihat undang-undang dikuatkuasakan secara adil dan tegas terhadap sesiapa sahaja yang melanggarnya.

Bagi memastikan keadaan kekal terkawal, operasi bersepadu melibatkan polis, Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan perlu diperkukuhkan. Penempatan haram, aktiviti ekonomi tanpa lesen serta sebarang pelanggaran undang-undang perlu ditangani berterusan dan bukan bermusim.

Usaha mendidik komuniti pelarian mengenai undang-undang tempatan, kebersihan awam serta sensitiviti budaya masyarakat Malaysia juga tidak boleh diabaikan.

Pendekatan penguatkuasaan semata-mata tanpa elemen pendidikan dan kesedaran mungkin tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah dalam jangka panjang.

Hakikatnya, isu Rohingya hari ini berada di persimpangan antara simpati dan realiti. Malaysia mempunyai tanggungjawab kemanusiaan yang perlu dihormati, namun pada masa sama kepentingan rakyat, kedaulatan undang-undang dan keharmonian sosial tidak boleh dikompromi.

Insiden di Selayang mungkin hanya satu insiden, tetapi ia mencerminkan cabaran lebih besar yang sedang dihadapi negara dalam mengurus kehadiran pelarian untuk jangka panjang.

*Mohd Izzatul Izuan ialah Wartawan Sinar Harian Selangor