
BOSTON: Seorang hakim persekutuan menyekat pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada melaksanakan peraturan baharu yang mengehadkan tempoh tinggal pelajar dan wartawan asing di negara itu tanpa memohon penyambungan.
Lapor Reuters, Hakim Mahkamah Daerah AS di Boston, F. Dennis Saylor membuat keputusan yang berpihak kepada gabungan kesatuan dan kumpulan advokasi pengajian tinggi sehari sebelum peraturan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) itu sepatutnya dikuatkuasakan.
Saylor menyatakan pihak DHS mengguna pakai dasar berkenaan berdasarkan alasan yang amat lemah.
Agensi tersebut sebelum ini mendakwa isu keselamatan negara serta keperluan membendung penipuan dalam program visa sebagai punca dasar itu dibuat.
Namun, hakim mendapati pihak agensi gagal mematuhi kewajiban undang-undang untuk menangani kebimbangan berhubung perubahan dasar atau mempertimbangkan alternatif yang kurang membebankan.
Menerusi satu kenyataan, Penasihat Umum DHS, James Percival menempelak keputusan Saylor dengan mendakwa di bawah keputusan tersebut, agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) terpaksa membiarkan penyalahgunaan berleluasa ini berlaku dalam sistem imigresen.
“Datang menggunakan visa pelajar, ambil satu kelas setiap semester dan tinggal di sini selama puluhan tahun,” kata beliau.
Saylor, yang dilantik oleh bekas Presiden daripada Parti Republikan, George W. Bush, menulis peraturan baharu berkenaan merombak sistem yang diamalkan oleh AS selama hampir lima dekad berhubung pengeluaran visa kepada pelajar asing mengikut tempoh status pengajian mereka.
Sistem berkenaan menurut beliau, membenarkan puluhan juta pelajar dan penyelidik asing datang ke AS, sekali gus membawa kepada penyelidikan berintis dalam bidang sains, perubatan dan teknologi, pertumbuhan ekonomi yang signifikan, serta pelbagai manfaat lain pada skala yang amat besar.
Saylor menambah peraturan yang diguna pakai oleh DHS pada Julai lalu bertujuan menggantikan sistem sedia ada dengan sistem baharu yang akan mengehadkan secara drastik jumlah keseluruhan pelajar, profesor dan wartawan asing di negara berkenaan.
Di bawah peraturan baharu tersebut, visa F bagi pelajar antarabangsa dan visa J yang membenarkan pelawat program pertukaran budaya bekerja di AS akan dihadkan kepada tempoh maksimum empat tahun manakala visa I bagi wartawan yang sebelum ini boleh bertahan selama bertahun-tahun akan dihadkan kepada tempoh sehingga 240 hari sahaja.
The post Hakim AS tolak dasar Trump hadkan tempoh visa pelajar, wartawan asing appeared first on Utusan Malaysia.

