
PETALING JAYA – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila melonjak 13 anak tangga dari petak ke-25 untuk menamatkan Grand Prix (GP) San Marino di tempat ke-12 di Litar Misano sebentar tadi.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu pada awalnya berada di petak ke-18 selepas mencatat masa satu minit 42.407 saat (s) dalam sesi Kelayakan 2 (Q2), namun hukuman penalti menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-25.
Situasi itu tidak mematahkan semangat Hakim Danish apabila pelumba negara tersebut melakukan permulaan positif sebelum bekerja keras memperbaiki kedudukannya sepanjang perlumbaan 20 pusingan.
Hakim Danish akhirnya melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dengan ketinggalan 22.335s di belakang pemenang perlumbaan, Maximo Quiles.
Kebangkitan dari petak ke-25 itu dianggap sudah mengagumkan apabila kelompok hadapan mula berpecah sepanjang perlumbaan, sekali gus menyukarkan tugas Hakim Danish untuk mengejar pelumba di hadapannya.
Keputusan tempat ke-12 turut membolehkan pelumba negara itu membawa pulang empat mata kejuaraan dunia selepas mengharungi hujung minggu yang cukup mencabar di Misano.
Quiles pula muncul juara selepas menewaskan David Almansa yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua, manakala Brian Uriarte melengkapkan podium di tempat ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish terus mengutip mata penting dalam musim sulungnya di Kejuaraan Dunia Moto3 selepas sebelum ini mencipta sensasi dengan meraih kemenangan sulung di GP Republik Czech, Jun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Hakim Danish bangkit raih mata di Misano appeared first on Kosmo Online.

