Hakim Danish berpeluang terima geran KWASN - Hannah

28 Apr 2025 • 9:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung kejayaan Hakim Danish di Litar Jerez

PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli berpeluang menikmati kemudahan geran Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) sebagai sokongan kepada perjalanan kariernya jika meraih keputusan positif pada dua kejuaraan disertai musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kejuaraan Dunia Junior GP dan MotoGP Rookies Cup menjadi medan penilaian pelumba berusia 17 tahun itu yang berada di bawah kendalian pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Hakim Danish di bawah program pembangunan bakat SIC, saya kena bincang dahulu dengan mereka. Sekarang ini sudah ada geran KWASN yang dibuka untuk atlet individu selagi mereka sertai kejohanan yang ada sistem ranking dunia, mereka boleh memohon dan kita akan beri sedikit geran.

"Kalau Hakim Danish raih podium, ia tidak berikan masalah (untuk dapat KWASN) dan jika sebaliknya, dia juga masih boleh mohon," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di sini hari ini.

KWASN adalah geran yang diwujudkan bagi membantu badan sukan menganjurkan program atau aktiviti selain membantu penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa bagi memperbaiki ranking mereka.

Baru-baru ini, pelumba kelahiran Terengganu itu mencipta sensasi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol saingan Rookies Cup selepas meraih podium berganda pada perlumbaan satu dan dua di Litar Jerez.

Kejayaan berganda itu menyaksikan Hakim Danish mengungguli carta perlumbaan itu dengan mengumpul 40 mata, di hadapan pelumba Australia Carter Thompson (38 mata) dan pelumba Sepanyol Brian Uriarte (25 mata). - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved