Hakim Danish Cemerlang di Wildcard MalaysianGP Walaupun Terpaksa Bersara Awal

27 Oct 2025 • 6:48 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

SEPANG, 26 Oktober 2025 – Pelumba muda berbakat Malaysia, Hakim Danish, membuktikan potensinya untuk bersaing di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 apabila mencatat pusingan terpantas perlumbaan (2 minit 11.066 saat) pada perlumbaan Wildcard di Grand Prix Malaysia (GP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), meskipun terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Beraksi bersama pasukan AEON CREDIT SIC RACING MSi, impian anak jati Terengganu berusia 18 tahun ini untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik – dan mengutip mata – ranap apabila jenteranya tiba-tiba hilang kuasa di Selekoh 1, memaksanya bersara pada pertengahan perlumbaan.

Walaupun keputusannya mengecewakan, prestasi cemerlang Hakim Danish sepanjang hujung minggu ini, termasuk catatan pusingan terpantas perlumbaan, menjadi isyarat jelas mengenai kemampuannya menjelang kempen sepenuh masa pada tahun 2026 bersama pasukan MSi Racing Team.

Prestasi Unggul Sejak Awal

Hakim Danish memulakan kempen wildcard di MalaysianGP dengan langkah kanan, konsisten mencatat masa terpantas sejak Sesi Latihan Bebas (FP1) dengan menduduki kedudukan ke-8 terpantas (2 minit 11.317 saat). Beliau meneruskan momentum dengan layak terus ke Kelayakan Dua (Q2) dan mencatat masa ke-6 terpantas pada FP2 (2 minit 10.576 saat), membuktikan dia mampu menyaingi pelumba elit dunia.

Mengulas mengenai nasib malang dalam perlumbaan, Hakim Danish berkata, “Saya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal kerana menghadapi masalah teknikal pada jentera saya. Motor saya tiba-tiba hilang kuasa di selekoh pertama, jadi saya terpaksa berhenti lebih awal.”

Beliau menambah, sekiranya masalah teknikal itu tidak berlaku, dia yakin berpeluang menamatkan perlumbaan di kedudukan mengutip mata. “Secara keseluruhan, saya berasa selesa dengan jentera dan setup yang pasukan sediakan.”

Pengalaman Berharga di Pentas Dunia

image is not available

Walaupun terpaksa bersara awal, pengalaman bersaing secara langsung dengan pelumba World Championship ini dianggap sebagai pendedahan yang tidak ternilai.

“Saya rasa sangat gembira kerana dapat bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia… Ini adalah pengalaman berharga kerana mereka semua laju, dan saya dapat menilai tahap persaingan di pentas dunia,” ujar Hakim Danish.

Beliau juga teruja dengan sokongan padu peminat Malaysia. “Saya sangat teruja melihat sokongan peminat Malaysia yang ramai di grandstand; jeritan dan sorakan mereka memberi motivasi yang besar kepada saya.”

image is not available

Pengurus Pasukan, Zulfahmi Khairuddin, mengakui kekecewaan atas kerosakan jentera di pertengahan perlumbaan yang disahkan berpunca dari bahagian enjin. “Namun, perkara yang tidak dijangka berlaku… Ia adalah sesuatu di luar kawalan kami. Walau bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong program ini serta perjalanan karier Hakim Danish,” katanya.

Menjelang kempen penuh tahun hadapan, Hakim Danish sedar masih banyak yang perlu dipelajari. “Saya tidak sabar untuk menyertai World Championship sepenuh masa tahun depan, tetapi saya sedar masih perlu memperbaiki diri untuk bersedia menghadapi musim penuh. Sepanjang hujung minggu ini, saya banyak belajar, terutamanya tentang cara pelumba-pelumba di pentas dunia menunggang, mengawal jentera, dan strategi perlumbaan, semuanya akan membantu saya menjadi pelumba yang lebih baik.”

Walaupun perlumbaan berakhir dengan kesedihan, kemunculan wildcard ini telah mengesahkan bahawa Hakim Danish adalah prospek cerah Malaysia, bersedia untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Moto3 dunia pada tahun 2026.

image is not available
image is not available

The post Hakim Danish Cemerlang di Wildcard MalaysianGP Walaupun Terpaksa Bersara Awal appeared first on TW Media.