
GENTING HIGHLANDS, 30 Julai 2026 – Bintang muda perlumbaan motosikal negara, Hakim Danish, terus mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila secara rasmi dilantik sebagai Duta Taman Tema Genting SkyWorlds menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung hari ini.
Pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif “Inspirasi Anak Malaysia” oleh Resorts World Genting yang bertujuan mengiktiraf rakyat Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka.
Sebagai duta, Hakim Danish akan bekerjasama dengan Genting SkyWorlds dalam pelbagai aktiviti promosi, program pembangunan belia serta sesi perkongsian pengalaman, sekali gus membawa dunia perlumbaan motosikal lebih dekat kepada keluarga dan peminat muda.
Kerjasama strategik itu turut disokong oleh ZK Racing dengan matlamat memupuk lebih ramai bakat baharu dalam arena sukan permotoran, selain menyemarakkan semangat kecemerlangan dalam kalangan anak muda Malaysia.
Pelantikan Hakim juga hadir bersempena pelancaran tarikan baharu Genting SkyWorlds, Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing, yang menawarkan pengalaman permainan bertemakan perlumbaan motosikal dengan aksi mendebarkan dan elemen kepantasan yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan sebenar.
Hakim Danish bukanlah nama asing dalam sukan permotoran negara. Anak kelahiran Terengganu itu mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menjuarai Idemitsu Asia Talent Cup 2022, sebelum terus mengorak langkah ke pentas dunia.
Musim ini menyaksikan beliau sekali lagi melakar sejarah apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama dalam tempoh lebih sedekad meraih podium Kejuaraan Dunia Moto3 serta mencatat kemenangan Grand Prix, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pelumba muda paling berbakat di pentas antarabangsa.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, Hakim melambangkan nilai keazaman, ketabahan dan cita-cita tinggi yang selari dengan aspirasi Genting SkyWorlds.
Menurut beliau, kerjasama itu bukan sahaja meraikan kejayaan Hakim sebagai atlet negara, malah menjadi platform untuk berkongsi kisah inspirasi kepada masyarakat serta memberi pengalaman lebih bermakna kepada para pengunjung taman tema tersebut.
Sementara itu, Hakim Danish melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama itu dapat menjadi medium untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia agar berani bermimpi, bekerja keras dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.
Bagi meraikan pelantikan tersebut, Genting SkyWorlds turut memperkenalkan koleksi cenderamata edisi terhad hasil kolaborasi bersama Hakim Danish. Dalam masa sama, pengunjung boleh menikmati tawaran Unlimited Pass pada harga promosi RM188 sehingga 31 Ogos 2026, yang memberikan akses kepada pelbagai permainan termasuk tarikan baharu Mad Ramp Peak – Full Throttle Racing.
The post Hakim Danish Dilantik Duta Genting SkyWorlds, Bawa Inspirasi Anak Malaysia Ke Pentas Antarabangsa appeared first on TW Media.



