Hakim Danish Hilang Barisan Hadapan, Penalti Besar Gegarkan Grid Moto3 Brno 2026

21 Jun 2026 • 4:59 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Hakim Danish Hilang Barisan Hadapan, Penalti Besar Gegarkan Grid Moto3 Brno 2026


Impian pelumba muda negara, Hakim Danish, untuk memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix Czech dari barisan hadapan musnah selepas dikenakan penalti 12 petak grid susulan kesalahan menunggang terlalu perlahan ketika sesi kelayakan Q2 di Brno.

Pelumba Pasukan MT Helmets-MSi itu pada asalnya berjaya meraih kedudukan kedua terpantas, namun penalti tersebut menyaksikannya terjatuh ke petak ke-14 untuk perlumbaan utama. Danish bukan satu-satunya mangsa tindakan tegas panel steward apabila pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama, turut dikenakan penalti sama dan turun dari P8 ke P20. Nasib serupa menimpa Guido Pini dari Itali (P12 ke P24) serta Rico Salmela dari Finland (P18 ke P26).

Tindakan ini dibuat selepas beberapa pelumba didapati memperlahankan jentera di beberapa sektor litar bagi menunggu ‘tow’ atau ‘slipstream’ daripada pelumba lain untuk mencatat masa lebih pantas. Isu ini semakin mendapat perhatian MotoGP sejak beberapa musim lalu kerana dianggap membahayakan pelumba lain di atas litar.

Image from: Hakim Danish Hilang Barisan Hadapan, Penalti Besar Gegarkan Grid Moto3 Brno 2026

Penalti itu nyata tamparan hebat buat Danish yang sebelum ini menyerlah di Brno dengan mendominasi sesi latihan dan muncul antara pencabar utama podium hujung minggu ini. Walaupun bermula dari petak ke-14, pelumba Malaysia berusia 18 tahun itu masih mempunyai peluang untuk mencipta kebangkitan dan memburu mata penting dalam kejuaraan dunia Moto3 2026.

Teruskan bersama Two Wheels..!