
STATUS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak membuatkan calonnya, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid memandang mudah persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16. Kepada wartawan Utusan Malaysia, Amirul Aiman Osman, Abdul Hakim berkongsi gerak kerja untuk mempertahankan Lendu yang disifatkan bukan tugas mudah.
UTUSAN: Sejauh mana kawasan Lendu sudah dijelajahi?
ABDUL HAKIM: Kempen telah bergerak bersama jentera BN serta Perikatan Nasional (PN) di DUN Lendu dalam keadaan yang baik. Segala perancangan dan gerak kerja telah disusun. Setakat ini, saya anggarkan kira-kira 80 peratus kawasan sudah dilawati kerana masih ada beberapa tempat yang belum sempat saya kunjungi. Insya-Allah, saya akan cuba menyelesaikan baki lawatan dalam tempoh hari terakhir kempen ini.
Apa isu utama yang dibangkitkan penduduk?
Aduan yang diterima berbeza-beza dan merangkumi pelbagai aspek. Antaranya berkaitan pembangunan, sosioekonomi serta masalah di kawasan taman perumahan yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Setiap kawasan mempunyai keperluan tersendiri dan perkara itu saya dapat lihat sepanjang turun padang bertemu serta menyantuni pengundi.
Pendekatan menyelesaikan masalah penduduk sekiranya diberikan mandat?
Sekiranya diberikan mandat, saya akan mula mengatur dan menyusun segala aduan yang diterima sepanjang tempoh kempen untuk diselesaikan secepat mungkin. Saya mahu tindakan dapat dilaksanakan pada peringkat paling awal yang mampu, tanpa meninggalkan aduan yang telah dikumpulkan. Bagaimanapun, segala usaha penyelesaian itu memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
Lendu dikenali sebagai kubu kuat BN. Kelebihan atau cabaran?
Cabaran paling utama tentunya untuk mengekalkan kemenangan BN di DUN Lendu. Ia bukan satu perkara yang mudah kerana setiap calon yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri. Calon yang bertanding menentang saya juga mempunyai kekuatan mereka. Jadi, saya tidak melihat pertandingan ini sebagai satu laluan mudah kerana ia melibatkan hati pengundi. Walau bagaimanapun, saya amat berharap penduduk Lendu akan membuat pilihan yang tepat dan memberikan kepercayaan kepada BN.
Sebagai pemimpin muda, apa kelainan ditawarkan kepada pengundi khususnya golongan belia?
Saya tidak membentangkan manifesto khusus di atas kertas, sebaliknya memberikan jaminan untuk menawarkan khidmat bakti dan usaha menjaga serta menyejahterakan rakyat DUN Lendu. Sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri dan Bahagian Masjid Tanah, saya memahami aspirasi serta keperluan golongan muda yang merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan, pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial.
Saya melihat peluang yang diberikan oleh kepemimpinan untuk menjadi calon bukan sebagai satu kesilapan, sebaliknya cabaran, amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas sebaik mungkin.
The post Hakim ikrar pertahan Lendu appeared first on Utusan Malaysia.






