Norazril muka baharu yang sudah lama turun padang

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 10:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Muka baharu

BERGELAR muka baharu bukan bermakna tidak mempunyai pengalaman dalam khidmat masyarakat. Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, AHMAD NORAZRIL ABDUL AZIZ aktif dalam politik sejak 2010 dan bersedia menghadapi persaingan Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka Ke-16. Ikuti perkongsian anak jati Kampung Sungai Petai itu bersama wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AIMAN OSMAN.

UTUSAN: Penerimaan pengundi selaku calon muka baharu?

AHMAD NORAZRIL: Dari segi kempen, semuanya berjalan dengan baik dan penerimaan masyarakat serta pengundi juga agak positif. Gerak kerja untuk turun ke kawasan semakin tersusun dan hubungan antara parti juga lebih mesra. Saya bukan orang baharu dalam politik, cuma ini kali pertama saya menjadi calon. Saya aktif sejak 2010 dan pernah memegang beberapa jawatan kepemimpinan di peringkat Pemuda UMNO serta bahagian. Turun padang dan berkhidmat kepada masyarakat bukan perkara bermusim bagi saya.

Cuma dalam pilihan raya ini, kawasan yang perlu diberikan tumpuan lebih luas dan jumlah pengundi juga ramai. Kita cuba bertemu seramai mungkin pengundi walaupun belum berkesempatan mengunjungi semua rumah.

Apa masalah utama yang dibangkitkan penduduk Rembia?

Rembia merupakan pusat pentadbiran daerah Alor Gajah dan mempunyai banyak kawasan perumahan serta penempatan lama. Antara perkara yang sering dibangkitkan adalah kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan dan sistem perparitan yang perlu dinaik taraf serta diselenggara secara berkala. Ada kawasan perumahan yang sudah berusia lebih 20 hingga 30 tahun dan tentunya memerlukan penyelenggaraan berterusan.

Pembaharuan yang mahu dibawa sekiranya diberi mandat?

Saya memberikan tumpuan khusus kepada golongan muda kerana jumlah mereka ramai di DUN Rembia. Selain itu, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan kebajikan masyarakat turut menjadi keutamaan yang perlu dipertingkatkan. Apa yang pen­ting, usaha ini mesti melibatkan semua lapisan masyarakat.

Kelebihan BN berbanding calon parti lain di Rembia?

BN mempunyai rekod pentadbiran yang jelas, khususnya di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Kita boleh melihat pembangunan dan perancangan yang telah dilaksanakan, selain manifesto kerajaan negeri yang realistik serta menjadi kesinambungan kepada pentadbiran BN sebelum ini. Saya mahu meneruskan pencapaian dan pembangunan tersebut supaya penduduk DUN Rembia turut menerima manfaat daripada perancangan kerajaan negeri.

Kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen?

Kerjasama antara BN dan PN semakin baik dari sehari ke sehari. Kita juga semakin mempunyai keserasian dalam berkempen. Banyak program dan sesi turun padang turut disertai rakan strategik daripada PN. Ini menunjukkan kerjasama yang semakin matang antara kedua-dua pihak.

Paling penting, kita mempunyai matlamat sama untuk memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan umat serta mengeratkan hubungan antara BN dengan PN, khususnya Pas. – UTUSAN

The post Norazril muka baharu yang sudah lama turun padang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved