
PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan seorang pesara tentera terhadap saman pemula yang dikemukakan kepada kerajaan dan dua lagi berhubung pelarasan pencen bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditangguhkan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Ini berikutan apabila pengerusi panel hakim iaitu Datuk Lim Chong Fong menarik diri daripada mendengar kes itu selepas peguam Datuk Dr. Shukor Ahmad yang mewakili perayu mengemukakan permohonan untuk Hakim tersebut tidak mendengar rayuan kes berkenaan.
Menurut peguam itu, permohonan itu dibuat kerana Hakim Chong Fong pernah mendengar dua rayuan pelarasan pencen membabitkan pesara kerajaan iaitu Aminah Ahmad serta bekas hakim, Datuk Ian Chin Hon Chong.
“Selepas mendengar permohonan pihak-pihak dan demi kepentingan keadilan, khususnya untuk menjimatkan masa supaya rayuan ini dapat diteruskan secepat mungkin tanpa permohonan rasmi dibuat, saya memutuskan untuk menarik diri daripada mempengerusikan rayuan ini,” kata Hakim Chong Fong.
Semasa prosiding, dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan baharu.
Terdahulu pada permulaan prosiding, Shukor memohon supaya hakim berkenaan menarik diri atas alasan hakim itu pernah menganggotai panel yang mendengar dua kes terdahulu berkaitan pencen iaitu Siti Aminah dan Hon Chong.
“Pada peringkat ini, saya memohon supaya Yang Arif menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut. Sekiranya permohonan ini tidak dibenarkan, saya memohon diberikan masa untuk memfailkan permohonan rasmi.
“Permohonan semakan dalam kes Aminah ditetapkan untuk pendengaran pada 26 Oktober ini. Keadaan itu boleh menjejaskan permohonan semakan berkenaan dan turut memberi kesan terhadap rayuan ini. Saya memohon maaf kerana terpaksa mengemukakan permohonan ini, namun ia dibuat secara bertanggungjawab dan dengan penuh rendah hati,” hujahnya
Mendengar permohonan itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali yang bertindak sebagai reponden membantah permohonan peguam perayu tersebut.
Mohammad Sallehudin berkata, dalam pendengaran rayuan hari ini, ia melibatkan parti dan isu undang-undang yang berbeza.
“Penglibatan Hakim Chong Fong dalam dua kes membabitkan pencen sebelum ini tidak boleh dijadikan alasan yang sah untuk menarik diri kerana kedua-dua kes berkenaan melibatkan pihak, fakta, isu serta undang-undang yang berbeza daripada rayuan semasa,” kata Mohammad Sallehudin.
Pada 16 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula seorang pesara tentera terhadap kerajaan dan dua lagi berhubung pelarasan pencen bagi anggota ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan bahawa pelarasan pencen plaintif iaitu Rafique Ali Ahmad Nordin telah dilakukan mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Pencen 1982 dan oleh itu, tiada kekurangan dalam jumlah pencen yang diterimanya.
Rafique Ali memfailkan saman itu mewakili 3,210 bekas anggota tentera lain pada 11 April lepas dan menamakan Majlis Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan serta kerajaan sebagai defendan memohon supaya defendan membayar atau melakukan pelarasan pencen mereka mengikut Peraturan-Peraturan Pencen 1982.
Menerusi saman itu, plaintif memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan defendan membayar pencen kurang daripada jumlah yang sepatutnya mereka terima adalah salah dan bertentangan dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Plaintif mendakwa defendan bertanggungjawab membayar baki pencen yang dikatakan tertunggak iaitu sebanyak RM85,459.11 untuk Rafique Ali sahaja. – KOSMO! ONLINE
The post Hakim tarik diri dengar rayuan pelarasan pencen pesara tentera appeared first on Kosmo Digital.



