Hakim tarik diri, rayuan pelarasan pencen pesara ATM ditangguh

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 1:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hakim tarik diri, rayuan pelarasan pencen pesara ATM ditangguh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan pendengaran rayuan seorang pesara tentera yang turut mewakili 3,210 pesara yang lain berhubung pelarasan pencen bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Penangguhan itu adalah disebabkan Datuk Lim Chong Fong yang mengetuai panel tiga hakim mahkamah itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.

Turut bersidang dalam panel terbabit ialah Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.

Ketika prosiding, peguam Datuk Dr. Shukor Ahmad yang mewakili kesemua pesara tentera itu memohon supaya Hakim Chong Fong menarik diri atas alasan beliau pernah menganggotai panel yang mendengar dua kes terdahulu berkaitan pencen.

Kes terbabit ialah rayuan berhubung pelarasan pencen bekas kakitangan kerajaan, Aminah Ahmad serta kes berkaitan hak pencen bekas hakim, Datuk Ian Chin Hon Chong.

“Pada peringkat ini, saya memohon supaya Yang Arif menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut. Sekiranya permohonan ini tidak dibenarkan, saya memohon diberikan masa untuk memfailkan permohonan rasmi.

“Permohonan semakan dalam kes Aminah ditetapkan untuk pendengaran pada 26 Oktober ini. Ini boleh menjejaskan permohonan semakan berkenaan dan berkemungkinan turut memberi kesan terhadap rayuan kes itu.

“Saya memohon maaf kerana terpaksa mengemukakan permohonan ini namun ia dibuat secara bertanggungjawab dan dengan penuh rendah hati,” hujahnya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali yang mewakili kerajaan membantah permohonan tersebut.

Beliau berhujah, penglibatan Hakim Chong Fong dalam kes Aminah dan Hon Chong tidak boleh dijadikan alasan untuk hakim itu menarik diri kerana kedua-dua kes berkenaan melibatkan pihak, fakta, isu serta undang-undang yang berbeza daripada rayuan semasa.

“Oleh itu, tidak wujud risiko bahawa Yang Arif akan bersikap berat sebelah terhadap perayu dalam rayuan ini. Itu pendirian kami,” hujahnya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Chong Fong memutuskan untuk menarik diri namun menegaskan tindakannya itu tidak membawa maksud beliau mengakui dakwaan bahawa dirinya berat sebelah ketika mendengar kes Aminah dan Hon Chong.

“Demi kepentingan keadilan, khususnya untuk menjimatkan masa dan memastikan rayuan ini dapat diteruskan secepat mungkin, saya memutuskan untuk menarik diri daripada mempengerusikan rayuan ini,” hujahnya.

Shukor kemudian menjelaskan, pihaknya tidak pernah mendakwa hakim itu bersikap berat sebelah sebaliknya hanya berpandangan penglibatannya dalam kes terdahulu sepatutnya didedahkan demi kepentingan keadilan.

Mahkamah kemudian menetapkan kes itu untuk e-Review pada 18 Ogos ini bagi menentukan tarikh baharu pendengaran rayuan tersebut.

Kira-kira 100 bekas pesara tentera turut hadir di mahkamah bagi mendengar rayuan itu hari ini

Pada 16 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Leftenan Komander (B) Rafique Ali Ahmad Nordin dan 3,210 bekas anggota ATM lain selepas memutuskan bahawa pencen mereka telah dibuat mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Pencen 1982 dan oleh itu, tiada kekurangan dalam jumlah pencen yang diterimanya.

Kesemua plaintif memfailkan saman tersebut pada 11 April 2025 dengan menamakan Majlis Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam saman itu, mereka memohon deklarasi bahawa tindakan defendan membayar pencen pada kadar lebih rendah daripada yang sepatutnya diterima oleh plaintif dan 3,210 bekas anggota ATM lain adalah salah serta melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa wujud perbezaan kadar pencen antara anggota ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 dengan mereka yang bersara selepas tarikh tersebut.

Plaintif turut memohon supaya pencen mereka diselaraskan berdasarkan kadar dan kaedah yang diterima oleh pesara ATM selepas 1 Januari 2013. – UTUSAN

The post Hakim tarik diri, rayuan pelarasan pencen pesara ATM ditangguh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved