
TAMBUNAN: Hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan hakisan tebing sungai teruk di Kampung Kuala Monsok, sekali gus menjejaskan jambatan utama yang menjadi laluan penduduk untuk ke kebun dan ladang mereka.
Kerosakan itu menimbulkan kebimbangan penduduk memandangkan jambatan berkenaan merupakan satu-satunya laluan harian untuk mereka mengangkut hasil halia, sayur-sayuran dan buah-buahan ke pekan Tambunan.
Hasil tindakan pantas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Monsok yang segera melaporkannya kepada pihak berkuasa, perkara itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Bertindak atas laporan itu, Jeffrey bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera mengambil langkah menstabilkan tebing sungai dengan membina tembok gabion sepanjang 150 meter menerusi peruntukan khas JPS.
Pengerusi JKKK Camillus George Lansou berkata tindakan segera itu memberikan kelegaan besar kepada kira-kira 200 penduduk yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Jeffrey turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus menangani keperluan komuniti luar bandar serta akan meneruskan pemberian bantuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terjamin.
