HAL Fintech, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia teroka kerjasama bangunkan latihan komprehensif veteran tentera

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HAL Fintech, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia teroka kerjasama bangunkan latihan komprehensif veteran tentera

image is not available

23/07/2025 - 09:25

Aizuddinur (dua dari kanan) dan Zakaria (tiga dari kanan) semasa mengadakan pertemuan di Menara Pahlawan, Kuala Lumpur. Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Julai - HAL Fintech Advisor dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVAT) merancang potensi kerjasama strategik membangunkan ekosistem latihan komprehensif untuk golongan veteran tentera.

Ia memberi fokus kepada usaha memperkasakan integrasi semula veteran ke dalam ekonomi negara melalui program peningkatan kemahiran khususnya dalam komunikasi dan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

Latihan akan merangkumi pelbagai bidang, termasuk keselamatan pintar, pemasaran digital, industri makanan dan pasaran halal global.

Antara inisiatif yang dibincangkan adalah pembangunan modul latihan berstruktur dalam tiga fokus utama iaitu pendedahan pendedahan serta latihan praktikal kepada veteran tentang teknologi AI dan aplikasinya dalam industri moden.

image is not available

Kedua, ialah membina kecekapan veteran dalam sektor keselamatan pintar, sejajar dengan latar belakang dan kemahiran ketenteraan mereka.

Fokus ketiga untuk melatih veteran menjadi usahawan dalam industri halal serta membuka peluang penyertaan dalam pasaran eksport.

Menurut pengasas dan perunding HAL Fintech Advisor, Prof. Adjung Aizuddinur Zakaria, veteran tentera adalah aset negara yang memiliki nilai tinggi dari segi disiplin, kepimpinan dan pengalaman luar biasa.

“Melalui latihan yang bersesuaian, mereka mampu menyumbang semula kepada ekonomi negara dalam sektor-sektor baharu seperti AI dan halal global,” katanya.

image is not available
Penyertaan veteran tentera dalam sektor pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan dapat menyediakan sumber tenaga kerja mahir - gambar hiasan.

Sementara itu, Presiden PVAT, Datuk Sharuddin Omar pula menyifatkan perbincangan ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh sokongan terhadap ahli-ahli persatuan melalui peluang pembangunan kerjaya baharu.

“Ia juga menyumbang kepada pengukuhan peranan PVAT dalam menyokong ekosistem latihan di peringkat nasional,” ujarnya.

Program yang sedang dirangka dijangka melibatkan pemindahan ilmu, bimbingan industri, dan penglibatan syarikat milik veteran sebagai pelaksana utama.

Inisiatif ini turut memberi peluang kepada industri luar untuk memanfaatkan pengalaman dan disiplin golongan veteran sebagai bekas perajurit negara.

Usaha sama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif susulan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Ia selari dengan matlamat Kementerian Sumber Manusia untuk menggalakkan penyertaan pesara dalam sektor pekerjaan negara serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - DagangNews.com

standard