Halang operasi tangkap anjing liar, ibu dan anak didenda RM500 seorang

4 Nov 2026 • 2:27 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Gara-gara menghalang tugas penguat kuasa ketika operasi menangkap anjing liar, sepasang ibu dan anak perempuan masing-masing dikenakan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret, di Muar hari ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, hukuman itu dijatuhkan terhadap Ainun Jongin, 52, seorang warga Indonesia dan anaknya Loo Sock Yan, 24, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Image from: Halang operasi tangkap anjing liar, ibu dan anak didenda RM500 seorang

Foto: Utusan Malaysia

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama 30 hari sekiranya kedua-dua tertuduh gagal melunaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menghalang seorang Pembantu Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Muar (MPM), berusia 31 tahun, daripada melaksanakan tugas ketika operasi menangkap anjing liar.

Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah rumah di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, kira-kira jam 5.45 pagi pada 29 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ketika itu sedang mengetuai operasi menangkap anjing liar di sekitar kawasan Taman Bintang Emas sebelum didatangi kedua-dua tertuduh.

Image from: Halang operasi tangkap anjing liar, ibu dan anak didenda RM500 seorang

Foto: Media sosial

Situasi kemudian bertukar tegang apabila pasangan ibu dan anak itu mengambil alat yang digunakan untuk menangkap anjing berkenaan.

Seorang anggota penguat kuasa wanita yang cuba mengawal keadaan dan menenangkan mereka bagaimanapun terjatuh dalam insiden tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd. Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Tan Joes Nan.

Sumber: Utusan Malaysia (Khairul Mohd Ali)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved