Pasangan ibu, anak halang penguat kuasa tangkap anjing liar didenda RM500

4 Nov 2026 • 1:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pasangan ibu, anak halang penguat kuasa tangkap anjing liar didenda RM500

MUAR: Pasangan ibu dan anak perempuan yang menghalang penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) menjalankan operasi menangkap anjing liar bulan lalu didenda RM500 masing-masing oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, seorang wanita warga Indonesia, Ainun Jongin, 52, dan anaknya, Loo Sock Yan, 24, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah dihadapan Majistret, Kartini Kasran.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Pembantu Kesihatan Awam MPM yang berusia 31 tahun menjalankan tugas dalam operasi menangkap anjing liar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di hadapan sebuah rumah di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, di sini, kira-kira pukul 5.45 pagi, 29 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga merupakan mangsa didatangi pasangan ibu dan anak berkenaan ketika sedang mengetuai operasi menangkap anjing liar di sekitar Taman Bintang Emas, Bukit Pasir.

Pasangan itu kemudiannya mengambil alat digunakan untuk menangkap anjing berkenaan sebelum seorang anggota penguat kuasa wanita cuba mengawal dan menenangkan keadaan, namun terjatuh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd. Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Tan Joes Nan.-UTUSAN

The post Pasangan ibu, anak halang penguat kuasa tangkap anjing liar didenda RM500 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved