Halogen Capital terima pelaburan RM13.3 juta, Kenanga pegang saham terbesar

LocalBusiness & Finance
15 Dec 2025 • 1:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Halogen Capital terima pelaburan RM13.3 juta, Kenanga pegang saham terbesar
image is not available
liza15/12/2025 - 13:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – Halogen Capital Sdn Bhd, pengurus dana aset digital berlesen pertama dan satu-satunya di Malaysia berjaya melengkapkan pusingan pembiayaan berjumlah RM13.3 juta (USD3.2 juta) yang diterajui oleh Kenanga Investment Bank Berhad bersama penyertaan firma 500 Global serta beberapa pelabur lain.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kenanga IB berkata, pelaburan itu dibuat melalui anak syarikatnya, Kenanga Private Equity Sdn Bhd.

 

“Susulan itu, Kenanga memegang 14.9 peratus pegangan dan menjadi pemegang saham institusi terbesar dalam Halogen Capital.

 

“Dana yang diperoleh akan digunakan untuk memajukan strategi tokenisasi Aset Dunia Sebenar (Real World Asset - RWA) Halogen Capital termasuk dana unit amanah dalam negara, bon, sukuk, kredit swasta dan hartanah. 

 

“Matlamatnya adalah untuk membuka akses pelaburan yang sebelum ini terhad kepada pelabur institusi dan individu berpendapatan tinggi,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga IB, Datuk Chay Wai Leong, pelaburan dalam Halogen Capital selaras dengan visi Kenanga untuk membangunkan ekosistem aset digital yang inovatif, dengan fokus kepada tadbir urus yang baik, ketelusan dan memanfaatkan teknologi blockchain serta penokenan aset.

 

“Usaha ini akan menjadikan pasaran modal lebih cekap, mudah diakses dan kompetitif di peringkat global.

 

“Pelaburan kami dalam Halogen Capital, selari dengan penyertaan dalam perniagaan digital lain seperti KDX, Helicap dan Merchantrade, mencerminkan keyakinan bahawa masa depan kewangan akan didorong oleh inovasi, disokong tadbir urus dan ketelusan yang kukuh,” katanya.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital, Liew Ooi Hann berkata, pusingan pembiayaan tersebut menandakan pencapaian penting dalam usaha membangunkan landskap pelaburan aset digital institusi di Malaysia.

 

“Kami amat teruja dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh Kenanga serta pelabur lain termasuk 500 Global, Digital Currency Group, The Hive Southeast Asia, Jelawang Capital dan Mythos Venture Partners. 

 

“Sokongan ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap aset digital sebagai komponen penting pasaran modal global,” katanya.

 

Sejak dilancarkan pada 2023 sebagai perintis dana mata wang kripto patuh Syariah pertama di dunia, Halogen Capital telah meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada kira-kira RM400 juta setakat November 2025. 

 

Antaranya termasuk Halogen Shariah Bitcoin Fund yang disenaraikan antara dana berprestasi terbaik di Malaysia berdasarkan data Lipper oleh London Stock Exchange Group (LSEG).

 

Ketika ini, Halogen Capital mengurus lapan dana borong serta mandat persendirian, dengan ribuan pelabur merangkumi individu bernilai tinggi, pejabat keluarga, syarikat korporat dan pelabur institusi, disokong oleh lebih 15 pengedar termasuk bank perdagangan dan pengedar berdaftar FIMM.

 

Mengulas prospek industri, Halogen Capital berkata inisiatif ini seiring dengan usaha berterusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam membangunkan rangka kerja tokenisasi sekuriti dan garis panduan pelaburan berasaskan rantaian blok bagi memastikan pembangunan aset digital kekal selamat, patuh peraturan dan mampan. - DagangNews.com

Terkini standard