
KUALA LUMPUR 11 Dis – Eco World Development Group Berhad menutup FY25 dengan prestasi yang kukuh, mencatat keuntungan dan jualan yang melebihi sasaran disokong jualan tanah strategik, cukai yang lebih rendah dan margin projek yang lebih tinggi, menurut penganalisis.
Namun, penganalisis berpendapat wujud beberapa faktor yang mengehadkan potensi kenaikan harga saham antaranya sasaran jualan FY26 ditetapkan RM4 bilion, turun 14% daripada RM4.6 bilion pada FY25, manakala keuntungan FY27 diunjurkan lebih sederhana dengan core PATAMI RM416 juta berbanding RM600 juta FY26.
Margin projek dan kos yang lebih tinggi turut menahan pertumbuhan keuntungan.
Selain itu, nisbah hutang bersih dijangka meningkat kepada 0.39x pada FY26 daripada 0.28x pada 4Q25 susulan pembelian tanah dan pembangunan pusat data yang masih belum siap.
Maybank Investment Bank berkata, bagi FY26, pihak pengurusan menetapkan sasaran jualan sebanyak RM4 bilion, turun 14% berbanding FY25, disokong projek baharu termasuk Eco Botanic 3, Eco Business Park 7 yang terletak di Mutiara Ville Valley (MVV) dan Eco Radiance di Semenyih.
“Kami yakin terhadap keupayaan Eco World dalam pelaksanaan projek, dengan anggaran jualan FY26E pada MYR4.2 bilion, sedikit lebih tinggi berbanding sasaran syarikat.
“Syarikat dijangka melihat peningkatan nisbah hutang bersih kepada 0.39x pada FY26E, berbanding 0.28x pada akhir 4Q25, susulan pembelian tanah dan kemajuan pembinaan bangunan pusat data di EBPV.
“Walaupun hutang dijangka meningkat, kami tidak terlalu bimbang memandangkan jualan belum ditagih sebanyak RM4.9 bilion, bersamaan 1.2 kali daripada pendapatan FY26E,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Namun, firma tersebut menurunkan ramalan pendapatan FY26 dan 27E sebanyak 15% dan 12% bagi mengambil kira keputusan sebenar FY25, perubahan anggaran margin untuk penjualan tanah dan projek tertentu, pegangan lebih rendah dalam EBP8 (45% daripada 65%), dan pulangan sewa lebih rendah daripada DC.
Keputusan ini menjadikan RNAV diselaraskan kepada MYR3.27 sesaham selepas pelarasan.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FY2025 Eco World melonjak 47% kepada RM445.3 juta, rekod tertinggi baharu kumpulan
Dividen dijangka stabil pada 8 sen bagi FY26, mencerminkan prestasi aliran tunai yang kukuh walaupun margin dijangka sedikit lebih rendah.
“Harga sasaran 12 bulan Eco World diselaraskan kepada RM2.29, berdasarkan 0.7x RNAV selepas pelarasan pendapatan, dengan penarafan Pegang diberikan kerana potensi kenaikan harga saham adalah terhad,” katanya.
Sementara itu, MBSB Research berkata, Eco World dijangka mencatat prestasi positif pada FY26 berikutan pengiktirafan jualan tanah strategik melebihi RM1 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan FY26 sebanyak RM4 bilion, sedikit lebih rendah daripada RM4.55 bilion pada FY25.
“Core PATAMI FY26 diunjurkan meningkat kepada RM600 juta dengan EPS 19.65 sen, disokong projek kediaman dan segmen industri yang dijangka kekal stabil selepas pelancaran Eco Business Park VII di Negeri Sembilan pada November 2025.
“Bagaimanapun, keuntungan FY27 dijangka lebih sederhana, dengan core PATAMI diunjurkan RM416 juta dan EPS 13.64 sen, disebabkan kos dan margin projek yang lebih tinggi.
“Faktor pemangkin jangka panjang seperti sumbangan sewa Pearl Computing Data Centre dijangka mula memberi impak selepas pusat data siap pada akhir FY27,” katanya.
MBSB Research menyemak harga sasaran Eco World kepada RM2.21 daripada RM2.22, selepas mengemas kini pegangan syarikat dalam EBP 8 kepada 45% daripada 65% dan mengambil kira diskaun 10% daripada RNAV RM2.45 sesaham.
MBSB Research berkata, ia mengekalkan penarafan Neutral dikekalkan kerana potensi kenaikan harga saham dianggap terhad.
“Walaupun FY26 menunjukkan pertumbuhan keuntungan, jangkaan kenaikan harga saham hanya sekitar +5.7% daripada harga RM2.09 pada 10 Disember 2025,” katanya.- DagangNews.com
