Hamil 6 Bulan & Hidap HIV, 'Miza Ozawa' Mengaku Cari Pelanggan Bagi Maksud Persundalan

19 Jun 2024 • 10:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Wanita hamil enam bulan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini, atas pertuduhan mencari langganan persundalan menggunakan nama Miza Ozawa menerusi akaun Telegram, awal bulan lalu.

Peniaga ubat kuat itu, Siti Amiza Baharuddin, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, Nurdiyanah menetapkan 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum yang mana pertuduhan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 4 petang, 6 Jun lalu.

Penjara maksimum setahun

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siti Amiza dalam rayuannya meminta denda minimum kerana sedang mengandung enam bulan dan menghidap HIV.

Bagaimanapun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan itu.

Denda RM12,500

Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa memiliki bahan-bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ubat kuat tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.



















Sumber: Harian Metro, Awani
Foto: Harian Metro