Hampir 2,000 peserta meriahkan Fun Walk HAWANA 2026

LocalHealth & Fitness
14 Jun 2026 • 10:17 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hampir 2,000 peserta meriahkan Fun Walk HAWANA 2026

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Fun Walk HAWANA 2026 yang berlangsung hari ini bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini, memulakan acara dengan sesi aktiviti pemanasan badan atau senamrobik kira-kira 7.30 pagi.

Pelepasan acara berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, yang disertai hampir 2,000 peserta itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementeri Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah pada 7.45 pagi.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak bersama-sama pengurusan tertinggi Bernama.

Selain aktiviti berjalan kaki, pelbagai acara sampingan disediakan untuk seisi keluarga antaranya sukan rakyat seperti batu seremban, congkak, kercang dan dam haji selain pertandingan mewarna serta kuiz.

Program penganjuran Bernama itu turut menawarkan 500 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan hingga RM50,000, termasuk 10 hadiah utama berupa motosikal elektrik bernilai RM3,000, basikal serta barangan elektrik.

Penganjuran Fun Walk HAWANA 2026 mendapat sokongan daripada 14 rakan strategik terdiri daripada sektor korporat dan institusi antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, Basic Tees, BigBigPlace, Maxim E-Hailing, Cap Kunci, Milo, Extra Joss, Munchy’s Oat Krunch, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), MOMAwater, Yakult, ZUS Coffee, Selangor Fruit Valley dan Sunshine Bakeries.

Program berkenaan diharapkan dapat terus berperanan sebagai platform menyatukan komuniti media dan masyarakat melalui aktiviti menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kebersamaan, selaras dengan aspirasi sambutan HAWANA 2026.

Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved