RM7 juta naik taraf Stadium Darul Makmur

7 Jun 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM7 juta naik taraf Stadium Darul Makmur
Fadzli (tiga dari kanan) ketika mengiringi Wan Rosdy menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang sempena Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

KUANTAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan RM7 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur di sini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan itu melibatkan kerja naik taraf termasuk sistem lampu limpah, pendawaian serta tempat duduk penonton.

Menurutnya, tender bagi projek tersebut akan dibuka bulan ini dan akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Padang stadium ini kita sudah berada pada tahap dunia kini kita menambah baik fasiliti lain seperti lampu limpah dan tempat duduk penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Stadium Darul Makmur, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Fadzli berkata, usaha selama lebih tiga tahun akhirnya membuahkan hasil apabila peruntukan untuk menaik taraf lampu limpah dan tempat duduk stadium berjaya diperoleh.

"Kami sedang bergerak ke arah menjadikan Stadium Darul Makmur sebuah stadium yang mampu berdikari,” katanya.

Sebelum ini, kerja naik taraf padang Stadium Darul Makmur menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand bernilai RM1.6 juta.

Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf sebagai padang rumput asli pertama di negara ini yang memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).