
KUALA LUMPUR: Pakej Mesra 9 Hari 7 Malam (9H7M) yang diperkenalkan oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 2,500 tempat duduk ditawarkan sejak dilancarkan sehingga 31 Julai lalu hampir penuh.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang syarikat itu, Ida Riswana Idris berkata, sambutan itu menunjukkan terdapat permintaan terhadap pakej umrah yang menawarkan tempoh perjalanan lebih singkat, khususnya dalam kalangan jemaah yang mempunyai kekangan cuti.
Menurutnya, pakej berkenaan diperkenalkan sebagai percubaan awal pihaknya bagi melihat penerimaan masyarakat terhadap pakej umrah yang lebih singkat berbanding pakej biasa.
“Ini adalah cubaan pertama Andalusia untuk mengadakan pakej yang lebih singkat daripada biasa iaitu sembilan hari tujuh malam sahaja, tetapi masih lengkap dari segi pengisian ibadah dan perkhidmatan mutawif.
“Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan pelancarannya sehingga 31 Julai, hampir 2,500 tempat duduk semuanya telah penuh termasuk pakej hari ini,” katanya ketika ditemui pada pelepasan kumpulan umrah Pakej Mesra Hari 9H7M penerbangan Malaysia Airlines di sini, hari ini.
Ida berkata, pakej berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM5,990, selain menyediakan penginapan di Makkah pada jarak kira-kira 400 hingga 500 meter dari Masjidil Haram.
Katanya, walaupun tempoh perjalanan dan penginapan lebih singkat berbanding pakej biasa, jemaah masih menerima perkhidmatan mutawif serta kemudahan penginapan yang ditawarkan Andalusia.
“Bagi pakej tujuh malam ini, umrah dibimbing mutawif sebanyak dua kali berbanding tiga kali bagi pakej biasa kerana tempohnya lebih singkat.
“Lawatan-lawatan wajib seperti biasa tetap ada dan pakej ini juga tertakluk kepada sistem Nusuk yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ida berkata, Andalusia merancang meneruskan tawaran Pakej Mesra 9H7M pada musim umrah akan datang dengan sasaran menyediakan sehingga 15,000 tempat duduk.
Menurutnya, pihaknya kini sudah mula mengumpulkan tempahan bagi musim umrah 1449H bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah memilih pakej dengan tempoh perjalanan yang lebih singkat.
“Selepas musim haji, insya-Allah kita akan mulakan semula dan bagi musim 1449H kita menyasarkan untuk memberi peluang kepada lebih ramai, iaitu hampir 15,000 jemaah mengikuti pakej seperti ini.
“Kita mahu memberi peluang kepada jemaah yang mempunyai masa yang singkat atau mencari harga yang lebih sederhana dan kompetitif,” katanya.
Terdahulu, seramai 117 jemaah menaiki penerbangan MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah, manakala 85 lagi menaiki penerbangan MH158 dari Kuala Lumpur ke Madinah.
Ida berkata, sambutan terhadap pakej berkenaan akan menjadi antara pertimbangan Andalusia dalam memperluaskan pilihan pakej umrah yang lebih fleksibel pada masa akan datang. – UTUSAN
The post Hampir 2,500 tempat duduk Pakej Mesra 9H7M Andalusia hampir penuh appeared first on Utusan Malaysia.




