
KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) dimanfaat hampir tiga juta pengguna dengan jualan melebihi RM91 juta dalam tempoh empat hari.
Setakat 6 petang semalam, kira-kira dua juta pengguna telah memanfaatkan pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 sen, yang dibuka sepenuhnya kepada rakyat Malaysia bermula hari ini.
“Alhamdulillah, pergerakan yang kita nampak hari ini pun lancar. Tidak ada banyak orang yang merungut,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Budi95 di Stesen Minyak Petronas Sri Hartamas semalam.
“Pergerakan kenderaan juga mungkin lebih daripada biasa kerana ramai teruja dapatkan harga minyak yang lebih rendah.”
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan sedang berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pemilik bot menerima inisiatif Budi95.
“Kita juga ada dengar daripada mereka yang ada bot dengan enjin sangkut, mereka tak dapat subsidi. Dari segi dasarnya, kita bersetuju untuk mereka dapat kelayakan dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan.
“Jadi, kita sedang berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, data-data daripada pemilik bot ini akan dimasukkan dalam sistem dan mereka juga akan dapat kelayakan,” katanya.
Amir Hamzah selain itu menjelaskan, kelonggaran turut diberikan kepada mereka yang lesen memandunya telah tamat tempoh kurang tiga tahun.
“Kita masih berikan Budi95 dan galakkan mereka baharui lesen kerana yang penting lesen mereka sah apabila membawa kereta,” katanya.
Inisiatif Budi95 dilaksana secara berperingkat bermula dengan 300,000 anggota polis dan tentera pada 27 September, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Ahad lalu.
Sejumlah 16 juta warga Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Setiap individu layak menerima sehingga 300 liter petrol sebulan.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober ini sebelum diapungkan. - 1 Oktober, 2025
The post Hampir 3 juta pengguna manfaat Budi95, jualan lebih RM91 juta dalam 4 hari appeared first on Scoop.



