
KUALA LUMPUR 4 Dis – Inisiatif kerajaan meningkatkan ketelusan harga barangan menunjukkan perkembangan positif apabila hampir 600,000 pengguna telah memuat turun aplikasi PriceCatcher setakat 17 November, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kementerian itu memaklumkan, aplikasi berasaskan pangkalan data MyHarga itu kini mencatat sekitar 10,000 pelawat aktif setiap minggu.
“Ia membantu pengguna membuat perbandingan harga runcit secara lebih tepat serta mengelakkan manipulasi oleh peniaga tidak bertanggungjawab.
“Penyediaan data masa nyata (real time) PriceCatcher dipertingkatkan melalui kerjasama dengan rangkaian pasar raya utama termasuk Mydin dan Redtick, dengan lebih banyak peruncit dijangka menyertai platform tersebut tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Ia bagi menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN–Parit) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan pangkalan data harga runcit masa nyata untuk kegunaan umum bagi mencegah manipulasi harga barangan keperluan.
Selain itu, KPDN memaklumkan Program Pemantauan Harga kementerian kini merangkumi 2,170 premis dan memantau 316 barangan merentas enam kategori, disokong lebih 850 pegawai pemantau harga yang menjalankan pemeriksaan harian, mingguan dan bulanan di seluruh negara.
“Ciri Jom Kongsi dalam aplikasi itu yang membolehkan pengguna berkongsi maklumat harga turut meningkatkan ketelusan di peringkat akar umbi dan mengukuhkan kuasa pengguna dalam mengikuti trend harga sebenar di pasaran,” kata kementerian.
Aplikasi PriceCatcher mula diperkenalkan oleh KPDN pada tahun 2018 sebagai platform untuk memudahkan pengguna membuat semakan dan perbandingan harga barangan keperluan harian.
Pelancarannya merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan ketelusan harga di pasaran dan membendung aktiviti pencatutan.
Sejak diperkenalkan, PriceCatcher berfungsi sebagai pangkalan data harga runcit yang membolehkan pengguna melihat maklumat harga secara masa nyata berdasarkan data yang dikumpulkan melalui program pemantauan harga kementerian.
Pengguna dapat membandingkan harga antara premis berdekatan dan membuat pilihan belian yang lebih bijak. - DagangNews.com




