
PUTRAJAYA: Rakyat negara ini diseru meninggalkan politik identiti yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan beralih kepada politik prestasi yang lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dihadapi rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sudah tiba masanya perdebatan politik tidak lagi berkisar kepada isu kaum dan agama, sebaliknya menilai prestasi kerajaan dalam menangani cabaran misalnya dalam isu kemiskinan.
Menurutnya, politik identiti adalah politik yang bersifat destruktif kerana tidak menghasilkan pemenang, sebaliknya hanya mewujudkan perpecahan.
“Sudah 69 tahun kita merdeka, tiba-tiba kita masih lagi nak bertarung dengan tajuk lama. Politik macam itu pada saya politik yang destruktif. Politik identiti ini zero-sum game, tidak ada pemenang.
“Tak mungkin saya dan Keadilan (PKR) boleh mengaku bahawa kami lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu. Atau pun saya nak kata saya tak boleh nak ‘out-Islamic’ Pas kerana niche mereka itu adalah parti Islam. Jadi siapa menang? Ini zero-sum game’,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, politik prestasi membolehkan rakyat menilai pencapaian sebenar sesebuah kerajaan, termasuk dalam menangani isu kemiskinan dan penyalahgunaan dadah.
“Tapi kalau kita bawa kepada tajuk politik prestasi, rakyat akan dapat keadilan. Negeri mana paling miskin, jika kita pergi kepada statistik, yang kedua, negeri miskin ini dikaitkan dengan apa? Insiden dadah yang paling tinggi di Malaysia setiap 100,000 populasi.
“Jadi bila paling miskin, dadah paling teruk, tiba-tiba kita hanya bercakap tentang politik identiti., Melayu, Cina, India. Sebab apa? Sebab tak ada masa untuk rakyat semak politik prestasi. Ya, kenapa kemiskinan masih lagi serius? Kemiskinan diikuti pula dengan kelemahan-kelemahan lain. Kalau nak bercakap tentang Islam dan Melayu terancam, Melayu terancam apabila kemiskinan bermaharajalela,” ujarnya. – UTUSAN
The post Hampir 69 tahun merdeka, jangan lagi bertarung isu politik identiti – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.






