Hampir 9,000 meriahkan Hari Sukan Negara Tawau

12 Oct 2025 • 9:44 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Hampir 9,000 masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Kompleks Sukan Tawau pada Sabtu.

Antara pengisian utama program tahun ini adalah Berjalan Ria Madani (dua kilometer ), Larian Ria Madani (lima km) dan Kayuhan Ria Madani sejauh 7.4 km dengan penyertaan secara percuma.

Acara perasmian dan pelepasan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bercakap kepada media selepas majlis perasmian, beliau menyatakan rasa gembira dengan kehadiran luar jangka masyarakat pada program itu dan berharap aktiviti sihat sedemikian dilakukan secara berkala, dan bukan hanya bermusim demi kesihatan diri.

Terdahulu, Ellron membacakan teks ucapan Hajiji yang antara lain menekankan harapan agar Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) akan terus membangunkan sukan di negeri ini, sekaligus mampu melahirkan atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya juga menyeru agar semua rakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sedia ada bagi memastikan kecergasan tubuh badan kita sentiasa dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau percaya langkah itu akan membantu usaha kerajaan menjadikan sukan sebagai budaya hidup dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan.

Hajiji juga berkata, penganjuran HSN membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengiktiraf kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu.

Menurutnya lagi, sukan bukan sahaja merupakan platform untuk menerapkan budaya mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah dalam masyarakat, malah menjadi wadah terbaik untuk menguatkan keterangkuman serta perpaduan dalam kalangan rakyat, merentasi garis kaum dan agama.

Langkah itu, katanya, amatlah bertepatan dengan objektif Dasar Sukan Negara iaitu untuk memperkukuhkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia demi melahirkan masyarakat tinggi disiplin dan bersatu padu.

Tambahnya, KBS turut menyediakan modul sambutan HSN dengan pelbagai aktiviti sukan untuk direkodkan sebagai bukti penglibatan rakyat Sabah dalam kegiatan sukan.

Hadir sama pada majlis itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Tetap KBSS, Datuk Mansur Asun; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Noorman Ramlan; dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang.