Hampir 97,000 warga asing ditahan atas kesalahan jenayah sejak 2024

14 Nov 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hampir 97,000 warga asing ditahan atas kesalahan jenayah sejak 2024
Mohd Khalid

SHAH ALAM - Seramai 96,844 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah sejak tahun 2024.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, statistik itu direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sehingga September lepas.

Menurutnya, berdasarkan statistik itu, seramai 33,136 tangkapan warga asing dibuat pada tahun 2024 dan meningkat kepada 36,740 orang pada tahun berikutnya iaitu peningkatan sebanyak 3,604 orang atau 10.9 peratus.

"Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September 2026, seramai 26,968 tangkapan warga asing direkodkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah melibatkan warga asing di Malaysia.

Jelasnya, ini termasuk memperkukuh sinergi bersama agensi kerajaan lain melalui operasi bersepadu, perkongsian risikan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Tambah Mohd Khalid, PDRM menegaskan komitmen dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan terhadap mana-mana individu termasuk warga asing yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negara ini.

"Dalam tindakan ini, PDRM berpegang teguh kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang (equality before the law), kedudukan atau kewarganegaraan adalah tertakluk kepada undang-undang negara," ujarnya.

Tegasnya, sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

"PDRM menyeru masyarakat agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.

"Kerjasama dan keprihatinan amat penting dalam membantu usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved