Hampir Seminggu Hilang, Nur Farah Rupanya Dibunuh

15 Jul 2024 • 9:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah - Gambar X

KUALA LUMPUR - Selepas hampir seminggu dilaporkan hilang, nasib Nur Farah Kartini Abdullah berakhir dengan penuh menyedihkan.

Gadis malang itu ditemui sudah tidak bernyawa di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, dipercayai dibunuh individu dikenali.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi media mengesahkan, mayat Nur Farah yang juga Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dijumpai sekitar jam enam petang tadi.

“Polis sudah melakukan tangkapan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan portal Buletin TV3.

image is not available
Hussein Omar Khan - Gambar fail

Getaran pada 12 Julai lalu melaporkan rayuan sahabat Nur Farah yang menyebarkan kehilangan mangsa menerusi bebenang di X.

Menggunakan akaun @puterizaira dia memberitahu, rakannya hilang sejak 10 Julai selepas menyerahkan kereta sewa kepada pelanggan pada jam 8 pagi, hari yang sama. 

Katanya, Nur Farah atau Faa lazimnya akan ke pejabat sebaik sahaja urusan penyerahan kereta sewa kepada pelanggan selesai dilakukan.

My dear Faa. Di manapun Faa sekarang, semoga Faa dalam keadaan selamat. 

“Ya Allah, semoga Farah Kartini dijumpai dengan selamat. Mohon RT,” ciapnya.

Bagaimanapun seorang daripada netizen yang membalas ciapan tersebut mendakwa, mangsa kali akhir dilihat menaiki sebuah teksi sapu berwarna merah.

Che Din yang menggunakan akaun @asyrifdin berkata, kejadian itu sempat dilihat saksi iaitu pelanggan kereta sewa yang dihantar Nur Farah. 

“Dia (Nur Farah) balik tu dengan kereta prebet (teksi sapu) juga, customer yang jdi saksi tu cakap dia naik kereta merah.

“Nombor plat tak dapat detect apa sebab customer kata masa tu hujan, then ada jugak org cuba trace ikut nombor phone smpai trace last dekat Pahang, tapi polis kata benda tu tak valid,” katanya. - Getaran, 15 Julai 2024