
PETALING JAYA – Secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran menunaikan ibadah haji terpaksa menangguhkan hasrat mereka pada tahun-tahun sebelum ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, perkara itu dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam memastikan bakal jemaah benar-benar bersedia untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Menurut TH, pada masa sama, kos menunaikan haji kini mencecah RM33,300 seorang sekali gus menjadikan simpanan mencukupi sebagai antara petunjuk utama tahap kemampuan dan persediaan bakal jemaah.
“Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang mula diperkenalkan pada tahun lalu sebagai syarat menerima surat tawaran haji telah menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus, berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Sehubungan itu, TH hari ini memperkenalkan Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membuat persediaan menunaikan ibadah haji secara lebih sistematik, mudah dan terancang.
Inisiatif itu memberi fokus kepada usaha menggalakkan pendeposit bermula lebih awal, menyimpan secara konsisten dan membuat persediaan lebih rapi supaya hasrat menunaikan haji dapat direalisasikan dalam tempoh lebih munasabah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelan itu dirangka bagi menyediakan panduan perjalanan haji yang lebih jelas kepada pendeposit.
“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain untuk memulakan perancangan lebih awal.
“Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” katanya beliau.
Bagi menyokong usaha itu, TH turut menyediakan Kalkulator Simpanan Haji bagi membantu individu merancang simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran masing-masing.
Mulai 19 September ini, TH juga akan memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.
Kemudahan Multi Tabung pula membolehkan pendeposit mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.
Tabung Istito’ah dikhususkan bagi simpanan sukarela yang lebih berdisiplin dan berfokus ke arah persediaan menunaikan haji, manakala Tabung Am kekal bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada.- KOSMO! ONLINE
The post Hampir separuh penerima tawaran haji pernah tangguh giliran appeared first on Kosmo Online.






