Hamzah dilantik atas pilihan Pas, bukan dipilih Muhyiddin - Wan Ahmad Fayhsal

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelantikan Hamzah (kanan) sebagai ketua pembangkang adalah pilihan Pas dan bukannya dipilih Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.

SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini adalah pilihan Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya dipilih Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pemilihan itu hasil ijtihad Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan wala' (taat) Hamzah kepada Ahli Parlimen Marang itu.

"Saya boleh sahkan bahawa Muhyiddin sendiri amat terkejut apabila Ayah Chik (Abdul Hadi) menamakan Hamzah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Saya hadir dan menjadi saksi dalam mesyuarat tersebut, mewakili Ketua Pemuda PN yang tidak dapat hadir.

"Begitu juga dengan keputusan mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang bagi YB Larut baru-baru ini, semuanya dilakukan melalui proses musyawarah oleh kepimpinan dan ahli-ahli parlimen Pas," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad menyifatkan, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar jauh baik dilantik sebagai Ketua Pembangkang, berbanding Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ini kerana kata menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu, ia penting bagi keselarasan gerak kerja dalam PN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, Hamzah adalah paling kanan dan berpengalaman di Dewan Rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen PN, selain paling berpengalaman di peringkat Persekutuan sebagai bekas ahli Jemaah Menteri.

Oleh yang demikian, beliau menyifatkan pandangan Zaharudin kurang tepat.

"Fakta yang mungkin Ustaz belum tahu, hubungan Hamzah dengan pimpinan Pas, khususnya Ayah Chik, Dr Sam (Ahmad Samsuri) dan Datuk Taki (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) adalah amat baik, jauh lebih erat berbanding hubungan beliau dengan Muhyiddin.

"Ini bermakna Hamzah tidak akan membuat sebarang keputusan penting tanpa persetujuan Pas, khususnya Ayah Chik dan kepemimpinan PN," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu calon Perdana Menteri yang dibangkitkan Zaharudin, Wan Ahmad Fayhsal berpandangan, perkara itu sebaik-baiknya tidak dibincangkan buat masa ini.

Beliau berkata, Abdul Hadi memahami ancaman dalaman dan luaran apabila membabitkan penamaan pemimpin daripada gerakan Islam untuk jawatan itu, selain realiti politik Sabah dan Sarawak, pembabitan istana serta pelbagai agensi persekitaran antarabangsa, yang semuanya perlu difahami secara mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan awam.

"Mudahnya, ikutlah ijtihad Ayah Chik kerana beliau memahami hakikat politik Malaysia dan antarabangsa dengan begitu mendalam.

"Kita boleh berbeza pandangan dan itu adalah hak masing-masing. Bagaimanapun, pandangan yang dikemukakan seharusnya berpijak pada fakta dan realiti, bukan sekadar spekulasi," katanya.