
KUALA LUMPUR – Pembekuan akaun bank Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan isterinya dianggap taktik mencipta persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN).
Hamzah yang mengesahkan perkara itu, berkata akaun berkenaan dibekukan sejak semalam oleh pihak berwajin.
Katanya, beliau percaya tindakan itu diambil kerana ada tekanan dan campur tangan pemimpin politik tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mendakwa, pembekuan akuan berkenaan kemudian disebarkan kepada media, selain menganggap ia sebagai usaha untuk terus menekan pimpinan PN yang dikatakan semakin mendapat kepercayaan rakyat.
“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada PN yang memenangi 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
“Tindakan pendakwaan politik ini samalah dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin PN, tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Hamzah berkata, beliau yakin akan ada lebih banyak tindakan politik diambil terhadapnya dan pemimpin PN dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ia termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasatnya kerana kritikan terhadap DAP pada kempen Pilihan Raya Negeri sebelum ini.
Pada masa sama, Hamzah berkata, beliau telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, peguamnya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia kerana mengheret namanya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan dirinya. – Getaran, 24 Ogos 2023
