
Hamzah Zainudin Sahkan Akaunnya Dan Isteri Dibekukan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa akaun miliknya serta isteri telah dibekukan oleh pihak berwajib, lapor Sinar Harian.
“Ini merupakan usaha terdesak kerajaan untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.
“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada parti ini apabila memenangi 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Akaun Hamzah dan ahli keluarga didakwa telah dibekukan
Sebelum ini, media melaporkan bahawa akaun Hamzah dan ahli keluarga terdekatnya didakwa telah dibekukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Tambah Ahli Parlimen Larut itu, beliau percaya bahawa pemimpin PN pada masa terdekat akan berdepan dengan pelbagai tindakan politik.
Ia termasuk penglibatan pihak polis dalam siasatan tindakan mengkritik DAP dalam kempen pilihan raya negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan sama sekali menghalang perjuangannya.
“Saya telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia.
“Kini peguam sedang menyediakan kertas-kertas untuk tujuan memulakan tindakan mahkamah kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena-mengena langsung dengan saya,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Hamzah Zainudin Sahkan Akaunnya Dan Isteri Dibekukan appeared first on Siakap Keli.
